Ekonomi merudum, Pakatan menembak kaki sendiri – Najib

Najib garis dua kesilapan terbesar PH

Datuk Seri Najib Tun Razak menggariskan dua kesilapan terbesar kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam menguruskan ekonomi sehingga menyebabkan keadaan negara bertambah teruk sekali gus menjadi punca kehidupan rakyat semakin terhimpit.

Katanya, tindakan pertama PH itu adalah menggembar-gemburkan mengenai hutang negara sebanyak RM1 trilion seterusnya menyebabkan kejutan kepada ekonomi selain mengundang kebimbangan para pelabur.

Ujar beliau, disebabkan berniat buruk iaitu hendak menyalahkan Barisan Nasional (BN) kononnya gagal menguruskan ekonomi, mereka sanggup mengambil risiko itu sedangkan hutang sebenar negara adalah sebanyak RM686 bilion.

“Dalam pengurusan ekonomi, keyakinan (pelabur) kena jaga, jika hilang (keyakinan) pelabur akan lari bersama modal dan ekonomi akan merudum. Mereka telah ‘tembak’ kaki sendiri,” katanya semasa berucap pada majlis Penyatuan Ummah di Kampung Hutan Palas, di Kodiang di sini, malam tadi.

Yang turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohd. Jamil Khir Baharom; pendakwah, Ahmad Husam Baderudin serta ribuan orang yang memenuhi lokasi ceramah tersebut.

Tambah Najib yang terkenal dengan panggilan Bossku, kesilapan kedua PH pula adalah mencari gaduh dengan China apabila memainkan persepsi kononnya Malaysia hendak dijual kepada negara tersebut.

Bagaimanapun kata bekas Presiden UMNO itu, PH ‘menjilat’ balik kata-kata mereka itu apabila kembali berunding bagi melaksanakan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

“Saya dah buat urusan baik dengan China (projek ECRL), mereka batalkan kononnya terlalu mahal. Hari ini, mereka laksanakan pula kononnya dengan harga lebih murah iaitu RM44 bilion. Jumlah dahulu lebih tinggi kerana kita bina terowong tetapi menjimatkan perjalanan Kuala Lumpur ke Kota Bharu, Kelantan,” kata beliau.

Sementara itu, Najib berkata, kemenangan PH kerana pembohongan dan fitnah tidak akan kekal malah rakyat bakal mengajar mereka dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Menang kerana penipuan ini tidak layak (sebagai kerajaan). Kita akan berjuang habis-habisan untuk menumbangkan kerajaan. Dalam masa sama kerjasama UMNO dan Pas akan jauh lebih hebat selepas ini,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker