TMJ tunjuk artikel perlembagaan untuk jawab Dr M

Share

Tunku Ismail Sultan Ibrahim membalas kenyataan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang mengatakan perlembagaan negeri Johor dan Terengganu terbatal apabila Persekutuan Tanah Melayu dibentuk.

Menerusi Twitter, Putera Mahkota Johor itu berkongsi tangkap layar dua artikel Perlembagaan Persekutuan berkaitan jaminan persekutuan terhadap perlembagaan negeri serta kedaulatan Raja-raja.

Perkara 71 (1) Jaminan Persekutuan terhadap Perlembagaan Negeri menyebut: Persekutuan hendaklah menjamin hak Raja sesuatu Negeri untuk naik takhta dan memegang, menikmati dan menjalankan hak-hak dan keistimewaan-keistimewaan di sisi perlembagaan bagi Raja Negeri itu mengikut Perlembagaan Negeri itu; tetapi apa-apa pertikaian tentang hak naik takhta mana-mana Negeri hendaklah diputuskan semata-mata oleh mana-mana pihak berkuasa, dan semata-mata mengikut apa-apa cara, yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Negeri itu.


Perkara 181 (1) pula menyebut: Tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan ini, kedaulatan, prerogatif, kuasa dan bidang kuasa Raja-Raja dan prerogatif, kuasa dan bidang kuasa Pembesar-Pembesar Memerintah Negeri Sembilan di bawah wilayah-wilayah mereka masing-masing sebagaimana yang telah ada dan dinikmati hingga kini adalah tetap dan tidak terjejas.

Terdahulu, perdana menteri hari ini menulis di blognya bahawa perlembagaan negeri Johor dan Terengganu terbatal apabila persekutuan Tanah Melayu dibentuk.

Baca: Dr M: Perlembagaan Johor, T’ganu ‘terbatal’ bila Malaya dibentuk


Tulisan itu disiarkan di tengah-tengah krisis antara Mahathir dengan Istana Johor berhubung pemilihan menteri besar yang baru dan anggota majlis mesyuarat kerajaan negeri.

“Perlembagaan negeri Johor dan Terengganu yang diisytiharkan sebelum ini dibatalkan oleh perlembagaan baru yang diterima oleh semua negeri.

“Oleh itu pada 9 Mei, 2018, rakyat Malaysia mengundi untuk memilih kerajaan (Persekutuan) Malaysia dan kerajaan-kerajaan negeri.


“Adalah penting bahawa semua orang menghormati perlembagaan dan mematuhinya. Kegagalan berbuat demikian akan menafikan peraturan undang-undang,” katanya dalam catatan blog petang ini.

Perlembagaan Johor dimasyurkan pada tahun 1895 manakala Perlembagaan Terengganu diisytiharkan pada tahun 1911 dan masih berkuatkuasa sehingga kini.

Perlembagaan negeri di semua negeri Tanah Melayu merupakan asas pembentukan Dewan Undang Negeri masing-masing serta memberi panduan terhadap pembentukan kerajaan negeri.

Speaker Dun Johor, Suhaizan Kayat berkata, kenyataan Mahathir itu boleh memberi kesan serius kepada kerajaan Johor dan Terengganu serta mencadangkan agar isu itu dibincangkan oleh pakar daripada persekutuan dan negeri.

Bekas menteri besar Johor Khaled Nordin pula berkata Mahathir tidak boleh mengatakan undang-undang tubuh negeri terbatal hanya kerana bertelagah dengan sultan Johor.

Mkini

Leave a Reply