Pertahankan dasar asal matrikulasi, ini masa Dr. Maszlee lebih menyinar

SATU demi satu desakan muncul ketika bermulanya era yang dikatakan sebagai Malaysia Baharu pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Pada mulanya, kedudukan istimewa Universiti Teknologi Mara (UiTM) cuba digugat dengan gerakan untuk mendesak kerajaan membuka kemasukan pelajar semua kaum ke universiti itu namun gerakan tersebut gagal.

Kini cubaan baharu muncul pula dengan desakan agar kajian semula terhadap sistem kemasukan program matrikulasi Kementerian Pendidikan dilakukan sehingga mencetuskan polemik dan menyaksikan pemimpin-pemimpin tertentu mula kononnya menjadi hero mempertahankan hak kaum masing-masing tanpa mempedulikan hati orang Melayu yang terus dicalar.

Timbul persoalan adakah kemenangan Pakatan Harapan 11 bulan yang lalu adalah lesen untuk pemimpin mereka melanggar apa sahaja yang telah dipersetujui sebagai kontrak sosial antara rakyat berbilang kaum di negara ini.

Perlu diingatkan penubuhan program matrikulasi bermula hasil daripada mesyuarat Jemaah Menteri pada 10 Mac 1999 sebagai persediaan pelajar bumiputera lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah pertama di universiti awam (UA) dalam bidang sains, teknologi dan profesional.

Ketiga-tiga bidang ini iaitu sains, teknologi dan profesional amat kritikal untuk golongan bumiputera pada masa itu dan program matrikulasi yang memperuntukkan kuota 90 peratus untuk bumiputera dan kemudiannya dibuka 10 peratus untuk bukan bumiputera masih lagi relevan sehingga sekarang.

Sekarang ini, bagi menghalalkan desakan agar kuota program matrikulasi dikaji semula, program tersebut diasak bertubi-tubi sehingga ada kenyataan yang tidak sepatutnya daripada ahli Parlimen Pakatan Harapan yang menggambarkan seolah-olah mutu penggredan program matrikulasi itu lebih rendah daripada progran prauniversiti yang lain.

Jika benar kuota 90 peratus kepada golongan bumiputera membuatkan penanda aras lebih rendah bagi program matrikulasi dalam perkara penggredan mengapa pula Ketua Jawatankuasa Hal Ehwal Universiti Pemuda DAP, Leong Yu Sheng menggesa Putrajaya menghentikan amalan memberi keutamaan kepada pelajar bumiputera dalam program matrikulasi.

Apakah program matrikulasi yang pelajarnya sebelum ini turut diterima masuk ke universiti terkemuka luar negara antaranya King’s College London, University of Sheffield di United Kingdom (UK),Universiti Harvard di Amerika Syarikat (AS), University of Toronto di Kanada dan lain-lain universiti menyebabkan pelajarnya kurang berdaya saing sehingga pelajar yang berasal daripada program matrikulasi begitu lemah dan menderita di universiti.

Rendah sekali penilaian ahli-ahli Parlimen PH terhadap pelajar program matrikulasi yang dikelolakan oleh Kementerian Pendidikan itu, namun entah mengapa mereka juga yang bermati-matian mendesak kuota untuk pelajar bukan bumiputera di buka dengan lebih meluas.

Selain program matrikulasi Kementerian Pendidikan juga menawarkan program prauniversiti melalui kemasukan pelajar ke kolej dan tingkatan enam yang turut menyediakan peluang memasuki program ijazah sarjana muda di universiti awam namun mengapa hak istimewa bumiputera yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan itu juga yang mahu direbut.

Bukankah disebabkan bantuan dan keistimewaan yang diterima oleh orang Melayu dan bumiputera termasuk dalam bidang pendidikan menyebabkan orang Melayu sering kali dilabelkan sebagai bangsa yang malas sejak zaman penjajahan British hingga sekarang dan perlu ditongkat sepanjang masa.

Mustahil bangsa-bangsa lain yang disifatkan sebagai lebih rajin dan lebih bijak daripada orang Melayu mahu menjadi seperti Melayu yang memerlukan bantuan kerajaan sepanjang masa.

Kementerian Pendidikan perlu berpegang teguh kepada dasar asal penubuhan program matrikulasi iaitu 90 peratus tempat untuk pelajar bumiputera dan 10 peratus bagi bukan bumiputera dengan penambahbaikan dilakukan termasuk memberi peluang kepada 60 peratus pelajar daripada isi rumah berpendapatan rendah (B40).

Malah, sebagaimana pemimpin DAP bertegas mempertahankan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sehingga ia diiktiraf secara diam-diam oleh kerajaan pada masa ini, maka pemimpin Melayu dalam Pakatan Harapan khususnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mesti lebih bertegas dalam mempertahankan hak bumiputera dalam program matrikulasi.

Inilah masanya untuk pemimpin Bersatu seperti Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik lebih menyinar dan membuktikan Bersatu benar-benar membela hak Melayu dan bumiputera seperti yang dilaungkan sebelum ini. – UTUSAN ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker