Malaysia masih gagal tarik pelabur

Share


Gagal tarik pelabur

Ringgit jatuh dan bon terus mencatat kerugian berikutan kebimbangan aliran keluar modal yang berterusan walaupun kerajaan mengumumkan pelaksanaan semula projek pembangunan hartanah dan hab pengangkutan minggu lalu, menurut laporan Bloomberg.

Projek yang dimaksudkan adalah Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Bandar Malaysia. ECRL disambung semula dengan kos pembinaan dikurangkan kepada RM44 bilion iaitu pengurangan sebanyak RM21.5 bilion daripada kos asal RM65.5 ­bilion.

Pelaksanaan semula projek Bandar Malaysia yang dihentikan sebelum ini dijangka menjana nilai pembangunan kasar (GDV) RM140 bilion.

Bagaimanapun, pengumuman itu gagal merangsang para pelabur.

Jelas Bloomberg, ancaman terhadap bon Malaysia semakin meningkat dengan aliran keluar berpotensi sebanyak AS$8 bilion (RM33.06 bilion) ditambah sentimen kejatuhan ringgit, walaupun berkemungkinan berdepan potongan kadar faedah.

Tidak cukup dengan itu, FTSE Russell mencetuskan kebimbangan apabila mahu mengeluarkan Malaysia daripada indeks bon dunia susulan kecairan pasaran sekali gus menyebabkan kebimbangan aliran keluar modal semakin tinggi.

“Langkah itu tidak sepatutnya berlaku selepas negara berdepan ancaman sekatan eksport minyak kelapa sawit oleh Kesatuan Eropah,” katanya dalam laporan tersebut.

Spekulasi

Sekali pun data inflasi pada Rabu dapat menyokong ­penurunan kadar faedah, terdapat kebimbangan terhadap indeks harga pengguna (IHP) akan melonjak pada separuh kedua.

Menurut Pengurus Wang Kanan di Pinebridge Investments, Anders Faergemann kepada Bloomberg, pasaran bon akan berada dalam ke­adaan turun naik jika spekulasi Malaysia keluar dari Indeks Bon Kerajaan Dunia terus meningkat.

Para pelabur kini bersedia untuk keluar sekiranya FTSE Russell mengeluarkan Malaysia daripada Indeks Bon Kerajaan Dunia pada September.

Pegangan asing terhadap hutang Malaysia sudah di paras terendah untuk tempoh dua tahun. Pengeluaran besar-besaran juga boleh memberi kesan kepada ekuiti negara.

Ringgit susut 1.2 peratus setakat ini pada April, yang paling tinggi dalam kalangan mata wang Asia lain dan dana global terus mengurangkan pegangan ekuiti negara hampir AS$3 bilion (RM12.40 ­bilion) tahun lalu.

Petang ini ringgit susut 0.02 peratus daripada RM4.1320 pada dagangan pagi kepada RM4.1340 berbanding dolar AS. Bursa Malaysia pula ditutup rendah 0.01 mata kepada 1,622.06 mata berbanding 1,625.18 mata dalam pembukaan.

Pasaran terkejut

Bagaimanapun, firma penyelidikan, AmInvestment Bank Research mengekalkan sasaran hujung tahun FBM KLCI pada 1,820 mata dan melihat pengumuman projek Bandar Malaysia adalah positif.

AmInvestment Bank dalam nota kajiannya berkata, pemulihan projek Bandar Malaysia merupakan sesuatu yang positif dan menyumbang kepada hubungan Malaysia-China yang lebih baik.

Katanya, pihaknya percaya pasaran masih lagi terkejut dengan keputusan kerajaan yang sebelum ini memandang serius penglibatan syarikat-syarikat China terhadap projek mega di Malaysia.

Bagi Hong Leong Investment Bank Research (HLIB Research) pula, sektor pembinaan negara bakal mendapat manfaat daripada pelaksanaan semula projek Bandar Malaysia yang dianggarkan menjana nilai pembangunan kasar (GDV) RM140 bilion.

“Sebanyak 50 peratus daripada kos keseluruhan berpotensi mewujudkan nilai kerja. Selain itu, ia juga akan me­rangsang aktiviti pembinaan menerusi penekanan kan­dungan tempatan,” katanya.

Saham syarikat 
pembinaan naik

Saham syarikat pembinaan melonjak naik diterajui oleh Ekovest Berhad (Ekovest) selepas kerajaan mengumumkan membangunkan semula Bandar Malaysia.

Ia menyaksikan saham Ekovest naik hampir 45 peratus atau 30 sen kepada 97 sen sesaham sementara Iskandar Waterfront City Berhad dan Econpile Holdings Berhad, masing-masing meningkat 29.4 peratus kepada RM1.32 sesaham dan 24.79 peratus kepada 73 sen sesaham.

Saham-saham lain seperti Gamuda Berhad menokok 8.77 peratus kepada RM3.35 sesaham, IJM Corporation Berhad naik 4.09 peratus kepada RM2.29 sesaham manakala YTL Corporation Berhad naik 4.35 peratus kepada RM1.20.

Menurut laporan Alliance DBS Research, kenaikan positif saham-saham syarikat berkenaan merupakan kejutan untuk sektor pembinaan.

“Kami kini lebih positif terhadap sektor ini. Baru-baru ini, sebanyak dua projek telah diumumkan akan dilaksanakan semula iaitu ECRL dan Bandar Malaysia yang berpotensi menambah RM88 bilion tempahan,” katanya di sini hari ini.

Utusan


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *