Kementerian siap sedia laksana subsidi petrol bersasar

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bersiap sedia sepenuhnya untuk melaksanakan subsidi petrol secara bersasar.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pelaksanaan itu akan dibuat sebaik sahaja pihak kementerian mendapat data akhir daripada Sekretariat Bantuan Sara Hidup (BSH).

Beliau berkata, data itu adalah untuk memastikan hanya golongan yang benar-benar layak mendapat subsidi berkenaan.

“Pelaksaan bergantung bila Sekretariat BSH serah data, pengumpulan data di fasa akhir. Kita nak pastikan data betul-betul kredibel, yang patut masuk masuk, yang tak patut dikeluarkan.

“Bila-bila masa sahaja Sekretariat BSH berkongsi data dengan kementerian. Di pihak kementerian, kita bersiap sedia,” katanya dalam Majlis Dialog Menteri KPDNHEP Bersama Media di sini hari ini.

Beliau ditanya berkenaan tarikh sebenar pelaksanaan subsidi berkenaan yang dijanjikan kerajaan Pakatan Harapan pada pilihan raya umum (PRU) lalu dan terus menjadi persoalan dalam kalangan rakyat.

Menurut Saifuddin Nasution, ketika ini 90 peratus penerima BSH telah memiliki akaun bank untuk membolehkan bantuan terus dibayar ke dalam akaun mereka, manakala bakinya di kawasan pendalaman, Sabah dan Sarawak dalam proses berbuat demikian dengan dibantu pelbagai agensi.

“Sekiranya pelaksanaan ini berjaya, kerajaan berhasrat melanjutkan pemberian subsidi kepada barangan pengguna lain seperti tepung, minyak masak dan gas petroleum cecair (LPG),” katanya.

Tambah beliau, sekiranya pelaksanaan subsidi bersasar itu memberi penjimatan kepada kerajaan, kerajaan sedia memperluaskannya kepada golongan M40.

Ketika ini terdapat kira-kira 4.1 juta penerima BSH.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihak kementerian sentiasa berusaha membantu meringankan kos sara hidup rakyat, ini termasuk cadangan memanjangkan tempoh kawalan harga barangan pengguna yang ketika ini lebih tertumpu pada musim perayaan.

Jelasnya, perkara itu akan diputuskan selepas pihak kementerian mengadakan perjumpaan bersama para pembekal dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Menjawab satu soalan, Saifuddin Nasution menjelaskan, kenaikan gaji dan upah bukan penyelesaian kepada masalah tekanan kos hidup rakyat sebaliknya ia dapat diatasi dengan pihak industri meningkatkan kecekapan dan produktiviti mereka. – UTUSAN ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker