Gagal Realisasi Manifesto, Salahkan BN… Kini Daim Minta Enam Bulan Sebagai Talian Hayat

Share

Sepatutnya dari awal lagi kerajaan Pakatan Harapan (PH) sudah memaklumkan kepada rakyat bahawa terdapat masalah-masalah bagi merealisasikan manifesto mereka dan perlu berhenti menyalahkan kerajaan Barisan Nasional (BN) atas kegagalan mereka namun malangnya ia tidak berlaku, kata Penolong Bendahari Pemuda UMNO, Johari Yazid.

Tegasnya, sehingga kini biarpun sudah menjangkau setahun pentadbiran mereka tetapi PH masih gagal membuktikan mereka berkaliber dengan pelan-pelan tindakan yang dapat menguntungkan negara dan rakyat khususnya.

“Baru sekarang PH meminta mahu menambah lagi enam bulan bagi memulihkan keadaan ekonomi negara setelah hampir 12 bulan rakyat dikencing, ini adalah sesuatu yang tidak logik untuk talian hayat mereka,” katanya kepada UMNO-Online.

Katanya kemungkinan untuk melaksanakan manifesto PH adalah sangat-sangat tipis berdasarkan terdapat banyak faktor dan jika ianya hendak ditunaikan 100 peratus maka pengaliran wang keluar adalah sangat tinggi berbanding pengaliran wang masuk, maka defisit akan berlaku dan negara akan menuju ke inflasi yang sangat teruk.

“Apa yang perlu kerajaan PH lakukan ialah membentangkan pelan bagaimana untuk menaikkan taraf ekonomi, meningkatkan Foreign Direct Investment ( FDI), memperkasakan pasaran saham Bursa Malaysia yang paling rendah sejak 30 bulan lalu, mempertingkatkan mata wang Ringgit dan kos sara hidup rakyat.”

Menurutnya, kerajaan PH sepatutnya perlu menarik kembali FDI untuk masuk ke Malaysia dengan menterjemahkan pelbagai kelebihan dari segi cukai dan inisiatif lain agar pelabur kembali ke sini berbanding sekarang dimana pelabur-pelabur asing lebih berminat melabur di negara lain seperti Vietnam.

“Kemungkinan untuk ditambah bulan sebagai alasan akan terus berlaku, tetapi saya yakin rakyat sudah bijak menilai dan akan memastikan mereka tidak akan ditipu lagi.

“Dasar-dasar yang baharu dan mantap perlu diterjemahkan kerajaan PH untuk membentangkan pelan-pelan tindakan yang terurus dan baik demi kelangsungan keharmonian negara serta peningkatan ekonomi negara” ujarnya.

Baru-baru ini Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin berkata, rakyat diminta memberi peluang enam bulan lagi kepada kerajaan PH untuk membuat kerja termasuk menunaikan janji-janji yang dibuat semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). – MediaUMNO.

Umno Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *