PRU-15: Siapa patut memimpin UMNO?

Share


OLEH TUN ABDUL HAMID MOHAMAD

SEBELUM Pilihan Raya Umum Ke 14 (PRU-14), betul atau tidak, saya berpendapat Datuk Seri Najib Tun Razak patut berundur menjadi Presiden UMNO.

(Tetapi, masalahnya, siapa hendak menggantinya?) Ini semata-mata berdasarkan persepsi, bukan hakiki. Pada masa itu, saya fikir, jika beliau berbuat demikian, Barisan Nasional (BN) mempunyai peluang lebih baik untuk menang.

Itu tidak berlaku. Apa yang berlaku kita semua tahu. Ia sudah menjadi takdir dan tidak boleh dirombak semula. Suka atau tidak, kita terpaksa menerimanya. Apa yang kita boleh lakukan adalah belajar daripada kesilapan dan mencari hikmah di dalam musibah.

Itulah yang saya cuba lakukan selepas PRU-14, melalui rencana-rencana saya. Kekalahan BN memberi peluang kepada UMNO untuk membersihkan diri daripada politik wang.

Saya menyuarakan, pemimpin-pemimpin UMNO patut bermuhasabah diri. Mereka patut bertanya diri mereka sendiri adakah mereka menjadi liabiliti kepada UMNO?

Mereka patut menjawabnya dengan jujur. Jika “Ya”, mereka patut berundur memegang jawatan dalam parti.

ELAK PERPECAHAN UNDI MELAYU/ISLAM
Saya mencadangkan supaya UMNO dan Pas bekerjasama (ini saya lakukan sejak 2014) untuk mengelak perpecahan undi Melayu/Islam yang menyebabkan kemenangan kepada Pakatan Harapan (PH).

Semua itu juga tidak berlaku. Apabila masa depan UMNO sudah nampak gelap, bekas-bekas pemimpin tinggi UMNO dan menteri-menteri yang kaya-raya kerana UMNO, termasuk yang menang dalam PRU-14, melompat keluar sebagai transit untuk menyertai Bersatu pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Pada masa itu, UMNO memang kelihatan tidak bermaya lagi. Maka, Dr. Mahathir yang mulanya mahu UMNO dan BN kalah untuk menjatuhkan Najib, mencanang di seluruh dunia bahawa UMNO hanya menunggu saat kematiannya.

Saya percaya, beliau nampak pusaka boleh diwarisi partinya yang terdiri daripada ahli-ahli Parlimen dan ADUN UMNO yang akan menguatkan kedudukan partinya dalam PH, ahli-ahli UMNO yang akan menjadi ahli Bersatu, infrastructure UMNO yang siap untuk digunakan, dan jangan lupa, aset UMNO.

Beliau telah berjaya melakukannya sekali. Mengulanginya tentu lebih mudah. Pada masa yang sama, akaun-akaun bank UMNO dibekukan (Saya tidak kata patut atau tidak sebab saya tidak tahu faktanya).

Apa lagi yang tinggal? Dalam keadaan itu, ada bekas-bekas pemimpin kanan yang masih berada dalam UMNO nampak sudah goyang dan menunggu masa dan peluang melompat keluar.

Di peringkat bawah dan akar umbi juga, penghijrahan mula berlaku.

UMNO sudah tidak berkuasa dan mereka tidak boleh mengharap sesuatu habuan dengan menyokong UMNO. Maka, lebih baik mereka menyokong PH.

HARAPKAN KU LI
Tetapi, dalam keadaan tanpa harapan itu ada beberapa pemimpin kanan yang nampaknya, sanggup tenggelam bersama UMNO.

Pada masa itu, setelah dihadapkan ke mahkamah, Najib telah melakukan sesuatu yang terhormat, jika dibanding Lim Guan Eng, iaitu meletak jawatan Presiden UMNO.

Saya menerima berita itu dengan rasa lega kerana ia akan memudahkan pemulihan UMNO. Malah, pada masa itu, untuk memulihkan UMNO, saya fikir Najib patut menjauh diri dari UMNO dan UMNO menjauh diri daripada Najib.

Dalam hal ini, apa yang berlaku kemudiannya, membuktikan pandangan saya itu silap. Pengunduran diri Najib itu menyebabkan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memangku jawatan Presiden.

Terus terang berdasarkan persepsi, saya tidak senang dengan perkembangan itu. Tiba pemilihan pemimpin-pemimpin UMNO. Saya fikir, itu adalah satu peluang untuk menggantikan Ahmad Zahid.

Saya mengharapkan Tengku Razaleigh Hamzah akan bertanding dan seterusnya menang kerana saya nampak, beliau sahajalah yang mampu berhadapan dengan Dr. Mahathir, selama Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri.

Selepas itu beliau juga patut berundur. Apabila beliau kalah, saya kecewa. UMNO tidak akan berubah. Tetapi, membaca laporan ucapan-ucapan beliau selepas itu, saya lebih suka beliau kalah.

Kemudian Ahmad Zahid pula dihadapkan ke mahkamah. (Sekali lagi saya tidak katakan patut atau tidak kerana saya tidak tahu faktanya.) Saya berharap, demi UMNO, beliau juga akan mengundur diri, seperti Najib.

Sekali lagi ini tidak berlaku. Saya harapkan ahli-ahli UMNO “menasihatkannya” supaya berundur. Apabila sayap Pemuda diketuai Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dengan sebulat suara, meluluskan resolusi meminta Ahmad Zahid berehat, saya gembira.

Tetapi, resolusi sayap Pemuda itu dikritik oleh pemimpin-pemimpin UMNO. Saya kecewa lagi: UMNO tidak akan berubah, tidak akan pulih dan akan terkubur.

UMNO BANGKIT SEMULA
Apabila kemudiannya Ahmad Zahid menyerah tugasnya kepada Timbalannya Datuk Seri Mohamad Hasan, saya gembira semula.

Saya kurang senang apabila melihat Najib turut berkempen di PRK Sungai Kandis kerana saya berpendapat ia akan memberi kesan negatif. Tetapi, apa yang berlaku di PRK Cameron Highlands selepas itu, adalah berlainan.

Terima kasih kepada apa yang dilakukan dan gagal dilakukan PH, orang Melayu, termasuk anak-anak muda, mula kecewa dan marah kepada PH dan kembali semula kepada UMNO, sekali gus Najib menjadi lebih popular berbanding ketika menjadi perdana menteri.

Tsunami patah balik orang Melayu lebih jelas di Semenyih dan Rantau. Maka, pemimpin-pemimpin UMNO yang sebelumnya sudah berfikir melompat keluar pun, turun berkempen semula.

UMNO telah bangkit semula. UMNO akan bersama-sama dengan Pas dalam menghadapi PH dan PRU-15. Untuk menguatkan lagi perpaduan Melayu, ahli-ahli Perkasa lebih baik menyertai atau sokong UMNO atau Pas.

Saya masih berpendapat Perkasa tidak sepatutnya menjadi sebuah parti politik. Ia hanya akan memecahkan lagi perpaduan orang Melayu dan melemahkan kuasa politik orang Melayu.

MCA yang telah meluluskan resolusi menuntut supaya BN dibubarkan, mendekati UMNO semula dan bersama-sama turun berkempen.

Saya telah katakan dalam ucapan dan rencana saya sejak 2014, bahawa pertimbangan orang (dan parti orang) Cina hanya untung rugi.

Jika mereka nampak akan menguntungkan mereka, mereka datang, jika merugikan, mereka lari. Maka parti orang Melayu perlu memperkuatkan dirinya dulu.

MIC yang sudah bercakap hendak keluar BN pun menghimpit semula. Ke mana ia hendak pergi? Sepanjang sejarah calonnya menang kerana undi Melayu.

MyPPP yang lebih awal lari, sudah tidak kedengaran langsung. Itu satu pengajaran kepada UMNO: jangan terlalu mudah menerima parti-parti opportunist seperti itu.

Berapa pengundi ia boleh bawa, itu pun di kawasan bandar yang dikuasai DAP?

Demikian juga Gerakan. Setelah semua calonnya kalah, ia bercakap besar akan keluar daripada BN.

Sekarang ia sudah tidak kedengaran lagi, mungkin sudah tidak bergerak lagi.

WAJAH BAHARU UMNO
Untuk menghadapi PRU-15, UMNO perlu tampil ke hadapan dengan wajah baru dan sifat-sifat baru. Ia perlu membersihkan diri daripada politik wang, rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Untuk itu, pemimpin-pemimpin utamanya hendaklah orang-orang yang berintegriti.

Sekarang saya nampak tiga orang yang lebih menyerlah daripada yang lainnya. (Saya tidak kata tidak ada orang lain, cuma saya kurang tahu mereka. Bilangan mereka boleh ditambah).

Mereka adalah Mohamad Hasan, Datuk Seri Ismail Sabri Ismail dan Asyraf Wajdi. Bagaimana dengan Najib dan Zahid?

Melainkan mereka telah dibebaskan oleh mahkamah daripada semua pertuduhan, adalah lebih baik bagi imej UMNO jika mereka tidak memegang apa-apa jawatan dalam UMNO.

Malah, pada pandangan saya. Najib lebih baik tidak mencuba untuk menjadi Presiden UMNO dan perdana menteri semula.

Sehingga beliau dibebaskan daripada semua pertuduhan, jika itu berlaku, persepsi negatif terhadapnya, betul atau tidak, adalah terlalu tebal untuk dilupai sekejap masa.

Juga, adalah tidak elok bagi imej Malaysia jika perdana menterinya berulang alik ke mahkamah, kerana menghadapi tuduhan jenayah. Jangan ikut teladan Guan Eng.

Populariti Najib sekarang adalah kerana orang kecewa dan meluat dengan PH dan menteri-menterinya, kasihan kepadanya.

Mereka merasakan bahawa kehidupan mereka lebih baik semasa Najib menjadi Perdana Menteri.

Biar apa pun, tuduhan-tuduhan terhadapnya di mahkamah masih ada dan, integritinya dan persepsi negatif terhadapnya masih belum pulih.

Lagi pula, saya percaya terdapat ramai orang yang sanggup menerima balik BN dengan syarat Najib bukan perdana menterinya.

Najib tidak dapat lari daripada tanggungjawab sebagai pemimpin UMNO yang menyebabkan kerajaan BN tumbang buat pertama kalinya dalam sejarah.

Cara untuk memperbaiki imejnya bukanlah dengan berusaha untuk menjadi perdana menteri semula yang berkemungkinan menyebabkan BN kalah lagi dalam PRU-15.

MASA DEPAN NAJIB, AHMAD ZAHID
Malah, saya berpendapat, BN tidak akan menang, jika ia menampilkan Najib semula sebagai bakal perdana menterinya. Saya masih berpendapat, secara rasmi, UMNO perlu menjauhkan diri daripada Najib.

Beliau tak usahlah bertanding. Beliau boleh berkempen untuk UMNO/BN atas sifat peribadinya, seperti sekarang.

Bagaimana dengan Ahmad Zahid? Apa yang saya katakan mengenai Najib terpakai kepada beliau.

Beliau eloklah mengikut teladan Najib dengan meletak jawatan sebagai Presiden UMNO.

Berhentilah cakap-cakap untuk menjalankan tugas sebagai presiden semula.

Jika beliau berbuat demikian, populariti UMNO yang mula meningkat itu akan merudum semula.

Sudah tiba masanya beliau berhenti dari politik, atau hanya menjadi ahli biasa. Beliau patut bersyukur telah naik setinggi itu. Ahmad Zahid bukanlah material Perdana Menteri.

Perbincangan ini adalah atas asas kedua-dua mereka belum atau tidak didapati bersalah dan dihukum penjara.

Jika mereka didapati bersalah dan dipenjarakan, keperluan perbincangan ini tidak timbul. Tetapi, mereka tidak bersalah sehingga mereka disabitkan.

Maka, saya memilih mereka untuk memimpin UMNO bagi menghadapi PRU-15.

Jika BN bersama-sama Pas dan parti-parti lain, dapat menubuhkan kerajaan Persekutuan, tanpa teragak-agak, saya memilih Mohamad sebagai calon Perdana Menteri.

Beliau mempunyai material Perdana Menteri. Noktah. Sebagai orang nombor dua dalam parti, saya memilih Ismail Sabri.

Beliau menunjukkan kematangan sebagai seorang ketua pembangkan. Saya juga memilih Asyraf Wajdi sebagai salah seorang pemimpin kanan UMNO.

Dulu Asyraf Wajdi bermasalah kerana beliau datang dari Kelantan dan kalah dalam pilihan raya Parlimen.

Sekarang Datuk Seri Mustapa Mohamed telah memberi laluan kepada beliau untuk bertanding di Jeli. Dengan sokongan Pas, saya tidak nampak apa-apa halangan untuk beliau menang.

Mungkin kini Mustapa menyesal.



2 thoughts on “PRU-15: Siapa patut memimpin UMNO?

  • April 18, 2019 at 6:32 pm
    Permalink

    Apapun kptsn yg DSN akan buat kami akan akur dan menghormati kptsn DSN jasa dan budi DSN semasa menjadi Perdana Menteri Malaysia akan kekal dlm ingatan setiap rakyat Malaysia.

    Reply
  • April 18, 2019 at 9:32 pm
    Permalink

    Insyalh taqdir Allah SWT akan menentukan segala2 nya…
    Kita hnya boleh merancang d sertai dgn sedikit usaha…

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *