Kerajaan patut bantu, bukan bunuh kontraktor bumiputera

Share

Kerajaan sepatutnya membantu merancakkan lagi industri tempatan dengan keterlibatan kontraktor bumiputera dan bukan sebaliknya membunuh mereka melalui kerenah birokrasi yang masih berlanjutan sehingga hari ini.

Kekesalan itu dizahirkan oleh Ketua Pemuda Pertubuhan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Farid Hussin yang kecewa apabila berlaku ketidakseimbangan dalam pengagihan tender kepada kontraktor bumiputera khususnya dalam kategori kelas G1.

Beliau malah menegaskan, kerajaan sepatutnya berlaku adil sama ada pemberian tender tersebut dilakukan secara terbuka atau rundingan terus.

“Contohnya dalam pemberian tender keselamatan mungkin ada dua hingga tiga syarikat yang memang layak. Maka, penganugerahan tender dilakukan secara rundingan terus sahaja. Ini kerana, kalau dilakukan secara tender terbuka mungkin akan mendedahkan kerahsiaan maklumat yang tidak sepatutnya berlaku.

“Apa-apa bentuk pemberian tender sekalipun, paling penting berlaku keseimbangan seperti mana telah lama dilakukan oleh syarikat besar, Petronas melalui ‘Vendor Assistance Program’ yang jelas menolong vendor tempatan.

“Ini kerana, tender terbuka yang diamalkan kerajaan sekarang seolah-olah nampak baik tetapi hanya menguntungkan pihak tertentu malah lebih membimbangkan apabila menekan golongan bumiputera di negara ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Online semalam.

Beliau mengulas Laporan Khas Utusan Malaysia mengenai kekurangan projek dan kelewatan bayaran yang dialami oleh kontraktor bumiputera terutamanya dalam kategori kelas G1 yang berhadapan dengan kerenah birokrasi di bawah kerajaan baharu sehingga terkesan dengan kos sara hidup yang meningkat.

Sementara itu, Yang Dipertua Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Kelantan, Asri Ali turut melahirkan kekecewaan kerana masalah sama turut membelenggu kontraktor bumiputera di negeri itu.

“Masalah kontraktor bumiputera di negeri ini amat menyedihkan, mereka ini seolah-olah hidup segan mati tak mahu kerana periuk nasi mereka hanya bergantung kepada projek kecil, hendak bayar rumah lagi, kos anak-anak, tetapi malangya projek tiada.

“Mereka juga bukannya kerja dengan sektor kerajaan sampai ada kontraktor bumiputera yang terpaksa gulung tikar sebab lesen sudah tidak boleh diperbaharui. Malah, kalau ada satu tender yang dibuka pun sampai 100 kontraktor datang mohon,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *