Pembangkang kecewa kerajaan negeri Kedah politikkan bantuan kepada wanita.

Tindakan kerajaan negeri menolak borang permohonan Tabung Khas Wanita Kedah yang mempunyai tandatangan pengesahan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang disifatkan sebagai sandiwara politik.

ADUN Sungai Tiang, Datuk Suraya Yaacob mendakwa, borang permohonan tersebut juga perlu dilampirkan dengan salinan keahlian mana-mana parti politik dalam Pakatan Harapan (PH).

Menurutnya, langkah tersebut bertentangan dengan apa yang sering dilaungkan PH kononnya mereka sebagai kerajaan yang telus dan berintegriti.

“Borang permohonan yang dihantar tidak boleh ada tandatangan kita (ADUN pembangkang), sebaliknya kena ditandatangani oleh penyelaras kawasan, maka borang siapa yang kita tandatangan akan dibuang begitu sahaja.

“Mereka juga cuba bermain politik dengan memaksa rakyat menjadi ahli parti mereka walaupun peruntukan ini melibatkan duit kerajaan negeri.

“Masalah mereka amat kritikal kerana tidak cukup ahli untuk mengadakan mesyuarat agung, jadi dengan menambah ahli, barulah mereka boleh bermesyuarat,” katanya dalam sidang akhbar selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 di sini hari ini.

Sementara itu, Suraya yang juga Ketua Penerangan UMNO negeri menyarankan kerajaan negeri mengikut perancangan kerajaan terdahulu dalam usaha menangani krisis air di negeri ini menerusi peruntukan yang telah diluluskan.

Menurut beliau, kajian yang terlalu banyak serta menangguhkan pendekatan yang dilakukan oleh Barisan Nasional (BN) dahulu hanya menyebabkan rakyat menanggung derita yang lebih lama.

“Sebagai contoh projek menaik taraf lima Loji Rawatan Air (LRA) di Kedah yang diluluskan oleh kerajaan BN sebelum ini ditangguh dan dibuat kajian dulu, sekarang baru kerajaan negeri buka tender baharu katanya untuk lebih telus.

“Ia membuang masa sedangkan kerja-kerja melaksanakan projek itu sepatutnya sudah boleh dilaksanakan, akhirnya rakyat yang menanggung derita mengadap gangguan bekalan air yang tidak berkesudahan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker