Isteri Mat Sabu rasmi kapal TLDM

Share

TLDM abadikan nama persenjataan tradisi Melayu pada kapal perang baharu

WUHAN, 15 April 2019. Tentera Laut Diraja Malaysia telah mengabadikan senjata tradisional Melayu, Keris sebagai nama Kapal Misi Pesisir (Littoral Mission Ship, LMS) yang pertama.

KERIS telah dilancarkan di Shuangliu Manufacturer Base, Wuchang Shipbuilding Industrial Group, Wuhan, China pada hari ini.

Majlis Perasmian LMS yang pertama telah disempurnakan oleh isteri Menteri Pertahanan, Puan Hajjah Normah binti Alwi. Majlis turut dihadiri Panglima Tentera Laut (PTL), Laksamana Datuk Mohd Reza bin Mohd Sany, Pengarah Boustead Heavy Industry Corporation (BHIC), Laksamana Tan Sri Ramlan Mohamed Ali (Bersara), pihak pengurusan China Shipbuilding Industry Corporation (CSIC) serta China Shipbuilding & Offshore International Co Ltd (CSOC).

KERIS, kapal LMS bernombor pennant 111 bakal menjalani pelbagai ujian penerimaan di pelabuhan dan di laut sebelum diserahkan secara rasmi kepada TLDM pada Disember 2019.

“Nama KERIS telah dipilih bersempena dengan nama Kapal Ronda (Patrol Craft) Kelas KRIS yang telah dilucut tauliah pada 1 Ogos 2005.

“Penggunaan nama KERIS yang merupakan senjata tradisional Melayu, melambangkan simbol semangat kepahlawanan, perjuangan, keberanian dan kekuatan dalam menentang serta menangkis serangan musuh.

“Semangat ini bakal dimiliki oleh bakal kru LMS yang akan memulakan latihan di Shanghai tidak lama lagi,” kata TLDM dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini.

Peletakan Lunas LMS yang pertama ini bermula pada 24 Oktober 2018 lalu dan disaksikan oleh Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.

Sementara itu, TLDM turut menjelaskan tradisi tentera laut di mana isteri kepada orang kenamaan negara akan diberi penghormatan untuk melancarkan kapal baharu yang bakal menyertai armada TLDM.

“Wanita yang melancarkan kapal ini digelar ‘Lady Sponsor’ dan akan terpahat sebagai sebahagian coretan sejarah kapal ini,” jelas TLDM dalam kenyataan yang sama

LMS merupakan salah satu daripada 5 kelas kapal yang digariskan dibawah Pelan Transformasi 15-to-5 TLDM. Dalam pelan tersebut, TLDM telah menggariskan perolehan sebanyak 18 buah kapal LMS. Setakat ini, kerajaan telah bersetuju untuk melaksanakan perolehan sebanyak 4 buah kapal LMS.

Teknologi yang dimiliki LMS adalah selari dengan kemodenan semasa sesuai dengan keupayaan kapal peronda di rantau Asia Tenggara. Melalui perolehan ini juga, Malaysia dapat mengukuhkan hubungan diplomasi dengan negara China dalam bidang pertahanan serta ekonomi.

Airtimes.my

One thought on “Isteri Mat Sabu rasmi kapal TLDM

  • April 16, 2019 at 9:58 am
    Permalink

    Pentadbiran Parti Hancing menjadi kucar kacir dan hancur lebur….

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *