Sultan tiada kuasa arah rombak exco – PKR Johor

Share

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar tidak mempunyai kuasa mengarahkan rombakan exco mesyuarat kerajaan negeri susulan perletakan jawatan menteri besar Osman Sapian, kata Pengerusi PKR Johor, Hassan Karim.

Sebaliknya, MP Pasir Gudang memberitahu Malaysiakini hari ini kuasa menstruktur barisan exco terletak pada Dewan Undangan Negeri Johor dan parti yang memenangi pilihan raya.

“(Rombakan exco) itu menteri besar yang cadangkan dia kena rujuk kepada parti dia PH.

“Ini PH yang tentukan bukan sultan, sebab apa, DUN dipilih oleh rakyat Johor dan kuasa untuk menentukan kerajaan negeri Johor exco ini adalah kuasa parti yang menang.

“Jadi untuk nak rombak exco ini bukan kuasa Sultan, ini adalah kuasa parti politik yang menang,” katanya kepada pemberita hari ini.

Awal pagi ini, Osman berkata Sultan Ibrahim tidak membaca surat peletakan jawatannya ketika mengadap baginda di Istana Pasir Pelangi di Johor Bahru.

Mengadap sultan lagi

Adun Kempas juga berkata Sultan Johor meletakkan syarat penggantinya untuk merombak barisan exco negeri dan beliau akan sekali lagi mengadap Sultan Ibrahim pada jam 6.30 petang hari ini.

Mengulas lanjut, Hassan berkata nama anggota exco akan diserahkan kepada sultan tetapi senarai akhir akan diputuskan menteri besar.

“Sultan tiada kuasa mengarah pembentukan exco yang baru soalnya adalah lantikan menteri besar. Menteri besar sahaja tak perlu yang lain.

Menjawab soalan PKR Johor akan mempertimbangkan menukar wakilnya dalam barisan exco negeri, Hassan berkata kedua-dua Adun Semerah Mohd Khuzzan Abu Bakar dan Adun Bukit Batu Jimmy Puah Wee Tse akan kekal memegang portfolio masing-masing.

“Maintain status quo dalam kerajaan Johor. Orang-orang yang sama,” katanya.

Hassan turur memaklumkan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin pada awalnya dilantik menjadi pengerusi PH Johor tetapi Osman mengambil alih jawatan itu sebagai pemangku ketika Adun Bukit Gambir tidak sihat pada tahun lalu.

“Sekarang dia letak jawatan, maknya kita anggap Muhyiddin sebagai pengerusi PH Johor, Bersatu mesti ada lantikan semua, kita tunggu mesyuarat dipanggil oleh Muhyiddin. PKR tak anggap Osman boleh panggil mesyuarat lagi,” jelasnya lagi.

Osman menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada Isnin lalu.

Mkini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *