Isa pertahan tindakan Felda beli EHP

Bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Samad mempertahankan tindakan Felda membeli saham syarikat Indonesia Eagle High Plantations Tbk (EHP) dua tahun lalu.

Mohd Isa berkata, pembelian EHP merupakan suatu kisah yang panjang untuk diperjelaskan namun menyifatkan ia merupakan pembelian yang baik kerana mempunyai keluasan ladang yang besar.
“Pembelian tersebut membolehkan Felda memiliki tambahan tanah ladang daripada apa yang ada di Malaysia,” katanya ditemui selepas selesai sebutan kesnya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Menurutnya pembelian EHP dilakukan selepas Felda tidak dapat memperoleh tanah di Papua New Guinea.
“Kejayaan syarikat Sime Darby membeli tanah di Papua New Guinea menyebabkan Felda perlu mencari tanah lain dan membeli EHP.
“Kita kena cari, kalau kita nak jadikan Felda itu sebagai sebuah entiti yg besar dalam peniagaan dan perladangan,” katanya.
Tambahnya, pembelian itu turut dilindungi dengan pilihan untuk menjual semula saham EHP yang ditambah dengan kadar faedah enam peratus.
Kelmarin, Pengarah Besar Felda, Datuk Dr Othman Omar di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi kerana mendakwa ditipu dalam urusan jual beli saham tersebut pada harga AS$505 juta (RM2.3 bilion) berbanding harga sebenar di pasaran pada Disember 2016.
ARTIKEL BERKAITAN: Felda dakwa ditipu pembelian saham Eagle High Plantations
Dalam pada itu, Mohd Isa juga bersedia untuk memberi penjelasan sekiranya diminta oleh pihak polis mengenai isu tersebut.
Isu berkenaan timbul selepas Felda membuat laporan polis pada 9 April lepas, yang menyetakan ditipu bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak supaya melabur AS$505 juta (RM2.3 bilion) dalam EHP, milik ahli perniagaan Peter Sondakh, yang dikatakan sebagai rakan karibnya.
Pada masa yang sama Mohd Isa menyambut baik pembentangan Kertas Putih Felda yang dibentangkan oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali selepas sesi pertanyaan lisan persidangan Dewan Rakyat pada semalam.
Katanya, Kertas Putih bertajuk ke Arah Kelestarian Felda bagi menjelaskan kecelaruan pengurusan dan hutang melampau agensi itu yang melebihi RM8 bilion itu menjelaskan kepada masyarakat awam khususnya peneroka bahawa jumlah yang kononnya di salah tabdir itu sebenarnya sebahagian besar merupakan hutang peneroka.
“Hutang peneroka termasuklah sara hidup, tanam semula, pinjaman rumah tanpa faedah dan ada juga buat pinjaman skim usahawan Felda, jadi maknanya betul apa yang kita betulkan dahulu, rupanya mereka salah pandangan dan jadi isu politik,” katanya.

Sinar

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker