Isu Felda : Najib cabar PH dedah perjanjian pembelian saham Eagle High

Najib Razak mencabar kerajaan PH mendedahkan perjanjian pembelian 37 peratus kepentingan Eagle High Plantations TPK (EHP).

Najib membuat kenyataan itu melalui Facebook selepas laporan polis dibuat terhadapnya berhubung urusan berkenaan.

Menafikan dakwaan dalam laporan polis itu, Najib berkata perjanjian berkenaan mempunyai ‘put option’, iaitu hak menjual saham pada harga yang ditentukan dalam tempoh yang ditetapkan.

“Pada awal Februari, saya mahu kerajaan PH untuk mendedahkan ‘put option’ untuk perjanjian pembelian ini tetapi mereka tetap bisu.

“Pembelian itu dilengkapi dengan ‘put option’ yang membolehkan kita menjual semula kepentingan 37 peratus ekuiti itu pada harga beli asal bersama dengan caj faedah tahunan enam peratus ditanggung oleh penjual Indonesia itu.

“Dalam erti kata lain, kalau kita tak mahu teruskan pelaburan itu, kita boleh tuntut balik semua wang yang kita bayar bersama dengan faedah enam peratus setiap tahun,” kata Najib.

Media hari ini melaporkan bahawa Felda membuat laporan polis mendakwa ditipu dalam pembelian 37 peratus kepentingan EHP dengan harga AS$505 juta (RM2.3 bilion) oleh Najib yang merupakan menteri kewangan itu.

Ketua Pengarah Felda Othman Omar dalam laporan polisnya semalam berkata Najib mengarahkan agensi itu untuk membuat transaksi pada 2015 melalui syarikat tujuan khas (SPV) FIC Properties Sdn Bhd (FPSB), lapor The Edge Markets.

Untuk rekod, EHP dimiliki Peter Sondakh, individu yang dikatakan rakan Najib.

Othman juga menyifatkan pembelian EHP sebagai bersifat “sepihak” dalam memberi manfaat kepada Rajawali Group (pemilik EHP), kerana terdapat banyak risiko dalam urusan itu, selain kerana EHP tidak memiliki akreditasi Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO), mahupun dilihat akan memperolehnya dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Tambah Othman lagi, jumlah yang dibayar untuk memperoleh 37 peratus dalam EHP adalah 344 peratus lebih tinggi dari nilai sebenarnya iaitu AS$114 juta.

Othman mendakwa, ia merupakan punca Felda mengalami kerugian Rm1.576 bilion setakat 31 Dis 2017.

Sementara itu tambah Najib, wang untuk membayar pembelian itu adalah pinjaman melalui bon dengan kaedah faedah 3.85 peratus.

“Ini bermakna, jika syarikat itu berjaya dan harga sawit memulih, pelaburan ini akan untung lebih banyak.

“Sebaliknya, kerajaan masih untung jika kita jual balik kerana faedah yang kita kenakan kepada mereka adalah lebih tinggi dari kos hutang kita.

“Maka, wang rakyat tetap terpelihara dan kita tidak akan rugi – sekaligus membuktikan tohmahan PH bahawa Felda akan rugi dengan membeli Eagle High ialah satu lagi fitnah.

“Sudah-sudah dengan menipu rakyat dengan memainkan propaganda untuk menyerang saya. Dedahkan sahaja perjanjian pembelian itu,” katanya.

Mkini

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker