#PrkRantau : N. Sembilan Miskin? Sepuluh Tahun KDNK Lagi Tinggi Dari P. Pinang… Janganlah ‘Over Kill’ – Tok Mat

“Janganlah ‘over kill’…,” bidas calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Mohamad atau lebih dikenali sebagai Tok Mat berkata demikian ketika mengulas mengenai kenyataan seorang pemimpin tertinggi PKR yang mengatakan bahawa Negeri Sembilan negeri miskin walaupun mempunyai hasil bumi yang banyak seperti kelapa sawit, getah, balak, minyak mentah dan gas asli.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan yang pernah mentadbir negeri tersebut dari tahun 2004 hingga 2018 itu juga hairan apabila pemimpin yang tidak disebutkan namanya itu bersikap demikian.

“Saya hairan bagaimana orang boleh mengatakan bahawa Negeri Sembilan jadi miskin, sepuluh tahun tiada apa-apa sampai mengatakan Negeri Sembilan ada sawit, ada getah, ada bijih timah, ada minyak, ada gas.

“Negeri Sembilan mana ada minyak, mana ada gas… janganlah ‘over kill’,” katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan Utama BN, di sini hari ini.

Jelas Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas presiden, jika dilihat kepada pertumbuhan ekonomi mengikut tanda aras Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), bagi bagi tempoh sepuluh tahun 2008 hingga 2018 peratusan bagi Negeri Sembilan mengatasi negeri Pulau Pinang.

“Kalau dilihat daripada prestasi pertumbuhan ekonomi Negeri Sembilan, kalau ambik penanda aras yang selalu dibuat, kita ikut kepada KDNK per kapita, penanda aras yang dibuat di seluruh dunia.

“Kalau kita nak lihat peningkatan atau pendapatan rakyat kita ambil kepada KDNK per kapita, KDNK per kapita Negeri Sembilan dari 2008 hingga 2018 telah melonjak naik sebanyak 55.7 peratus, jika dibandingkan dengan negeri Pulau Pinang dia cuma 52 peratus,” ujarnya lagi.

Justeru tegasnya, dengan perangkaan yang dikeluarkan oleh agensi perangkaan negara tersebut jelas menafikan kenyataan yang mengatakan Negeri Sembilan tidak membangun.

“Kita punya KDNK per kapita lebih RM26 ribu (2008) naik menjadi lebih RM41 ribu (2018). Ini dikeluarkan oleh jabatan perangkaan kerajaan, dan bagaimana ‘anda’ kata Negeri Sembilan tidak ‘perform’.

“Ini bermakna Negeri Sembilan negeri yang cepat membangun dalam masa sepuluh tahun. Itu tak termasuk kalau dibuat Malaysian Vission Valley, dengan semua infra yang dah kita cadangkan, hubungan jalan raya, highway-highway baru, Negeri Sembilan akan terbuka.

“Saya pernah katakan Negeri Sembilan akan jadi negeri yang terbaik dalam negara kita,” katanya.

Berhubung dengan PRK DUN Rantau, Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi BN berharap jentera terus bersama-sama menggiatkan usaha untuk menemui seramai mungkin pengundi serta menolak segala tohmahan liar yang bertujuan mahu melemahkan kekuatan jentera parti.

“Saya harap jentera BN akan meneruskan gerak kerja kempen untuk menemui seramai mungkin pengundi-pengundi, pergi rumah ke rumah.

“Jangan dengar cakap-cakap tak betul yang boleh menyebabkan kita rasa tidak senang hati ataupun susah hati.

“Gerak kerja mesti diteruskan sehingglah ke peringkat akhir pada malam 12 haribulan,” katanya.

Tok Mat turut menasihati jentera parti agar jangan terpengaruh dengan kempen-kempen provokasi yang dilakukan segelintir pihak.

“Kita buat kerja, fokus apa yang kita buat dan hendak dibuat, jangan kita terganggu konsentrasi dengan provokasi-provokasi atau tohmahan-tohmahan yang sedang dibuat.

“Banyak cara diorang buat, cuba nak tohmah saya, nak membunuh karektor saya, nak memburukkan Barisan Nasional macam-macam. Mereka memang pakar dalam bidang ini,” ujarnya sambil berkata segala tuduhan yang dilemparkan kepadanya akan ditangani dengan sebaiknya. – MediaUMNO

Umno Online

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker