Pendeposit hiba hibah 1.25 peratus

Tabung Haji mengumumkan agihan hibah atau bonus bagi tahun kewangan 2018 pada kadar 1.25 peratus iaitu kadar agihan paling rendah dalam sejarah. Berdasarkan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof, kadar tersebut adalah sejajar dengan keadaan Tabung Haji yang disifatkannya sebagai menyedihkan selepas diwarisi daripada kerajaan terdahulu.

Mengikut rekod, 2012 merupakan tahun tertinggi pemberian hibah Tabung Haji iaitu 6.5 peratus disusuli 2014 (6.25 peratus dan penambahan 2 peratus hibah haji); 2013 (6 peratus dan penambahan 2 peratus hibah haji); 2015 (5 peratus dan penambahan 3 peratus hibah haji); 2017 (4.5 peratus dan penambahan 1.75 peratus hibah haji) dan 2016 (4.25 peratus dan penambahan 1.5 peratus hibah haji).

Secara peribadi penulis yang juga salah seorang pendeposit Tabung Haji merasa kecewa dengan kadar yang diumumkan ini. Begitu juga rakan-rakan lain yang turut sama menyimpan wang mereka dalam Tabung Haji.

Meskipun Mujahid dan Tabung Haji telah mengemukakan pelbagai alasan sebab kadar yang diumumkan terlalu rendah namun rata-rata pendeposit Tabung Haji berpendapat hibah sebanyak 1.25 peratus adalah jumlah yang sukar diterima.

Seperti mana yang pernah didedahkan oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki sebelum ini, selepas beralih pemerintahan, Tabung Haji telah menjual dan memindahkan aset-asetnya bernilai RM19.9 bilion kepada syarikat bertujuan khas (SPV), Urusharta Jemaah Sdn. Bhd. Daripada penjualan itu Tabung Haji telah mendapat keuntungan,

Justeru, kadar hibah yang diumumkan itu sepatutnya perlu lebih tinggi dan lebih kompetitif. Tidak hairanlah ramai pendeposit berang dengan angka tersebut. Dalam media sosial para netizen (mungkin pendeposit Tabung Haji) turut melahirkan rasa marah mereka.

Malah dalam Facebook beberapa orang netizen telah menaikkan status angka 1.25 dan dalam ruangan komen boleh dikatakan sebahagian besar pengikut-pengikut netizen terbabit memberi komen-komen negatif.

Juga jangan terkejut mendengar suara-suara pendeposit yang mahu keluarkan wang simpanan dan cuma tinggalkan baki untuk tunaikan haji sahaja. Wang yang dikeluarkan itu akan disimpan di tempat lain yang dikira mampu memberi pulangan dividen lebih kompetitif antaranya Amanah Saham Bumiputera (ASB) atau unit trust.

Mahu tidak mahu Tabung Haji perlu menjangkakan perkara ini rentetan daripada pengumuman tersebut. Oleh itu, Tabung Haji perlu lebih bersedia sekiranya berlaku pengeluaran wang berama-ramai daripada pihak pendeposit.

Penulis difahamkan terdapat ramai pendeposit yang menyimpan wang dalam Tabung Haji lebih RM100,000. Jika kumpulan ini bertindak sedemikian dan hanya meninggalkan baki untuk tunaikan haji sudah tentu akan memberi kesan kepada institusi berkenaan.

Besar kemungkinan Tabung Haji akan kehilangan berbilion ringgit dalam tempoh singkat. Yang pasti, jika berlaku pengeluaran wang beramai-ramai daripada pihak pendeposit, kedudukan kewangan Tabung Haji mungkin akan terjejas.

Memang benar menyimpan dalam Tabung Haji bukan tujuan pelaburan tetapi untuk tunaikan haji, namun jangan lupa langkah 9.3 juta pendeposit membuat simpanan dalam insitusi itu adalah kerana tarikannya dari segi kadar hibah dan bonus. Sebelum ini kadarnya lebih enam peratus.

Dengan tarikan kadar hibah dan bonus yang kompetitif, ditambah dengan kedudukan Tabung Haji sebagai sebuah institusi Islam sudah tentu ia mendapat sokongan penuh dalam kalangan umat Islam dan Melayu negara ini.

Dalam pada itu, seorang sahabat telah menghubungi penulis dan dia juga melahirkan rasa kecewa. Katanya, apa yang diumumkan oleh Mujahid itu hanya akan mengundang kemarahan orang Melayu.

Tidak kurang juga netizen yang marah dengan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana tidak sudah-sudah menyalahkan kerajaan terdahulu termasuk isu berkaitan Tabung Haji. Kata mereka cukup-cukuplah. Sebagai pemerintah, Kerajaan PH perlu lebih bertanggungjawab terhadap Tabung Haji serta usaha membela bakal jemaah haji negara ini.

Sehubungan itu, mana-mana polisi dan dasar yang baik perlu dikekalkan seperti pemberian subsidi kepada bakal jemaah haji kali pertama. Jangan senang-senang mahu menghapuskannya.

Saifulizam Mohamad
Utusan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker