#PrkRantau : Saya tak tipu orang Sendayan – Tok Mat

Calon Barisan Basional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan menafikan tuduhan beliau melakukan penipuan dan mengambil kesempatan terhadap penduduk dalam kemelut tanah di Sendayan dahulu.

Sebaliknya, jelas Timbalan Presiden UMNO itu lagi, tanah di Sendayan sudah tiada apa-apa isu lagi dan telah diselesaikan oleh kerajaan Negeri Sembilan semasa beliau menjadi Menteri Besar.

Tambah Mohamad lagi, isu berkenaan tanah di Sendayan sengaja ditimbulkan oleh parti lawan semata-mata kerana tempoh berkempen PRK Rantau sedang berlangsung serta hari pengundiannya bakal diadakan pada 13 April depan.

“Isu tanah di Sendayan ini sudah tiada apa-apa lagi, semasa saya mula menjadi Menteri Besar pada 2004, saya berjanji kepada diri sendiri mahu menyelesaikan kemelut tanah di Felda Sendayan yang sudah bertahun-tahun sehingga penerokanya teraniaya.

“Sehinggakan saya terfikir, kalau saya tak berjaya menyelesaikannya semasa penggal pertama menjadi Menteri Besar, saya takkan bertanding sebagai wakil rakyat dan tak mahu jadi Menteri Besar Negeri Sembilan pada masa tu, itu janji saya,” katanya sewaktu berucap dalam ceramah di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Sendayan, malam semalam.

Mohamad yang juga merupakan Ketua UMNO Bahagian Rembau menambah, kemelut tanah Sendayan telah berjaya diselesaikan menerusi skim yang ditawarkan oleh kerajaan kepada penduduk yang terlibat.

“Tidak timbul soal saya menipu orang Felda Sendayan, tak timbul soal kerajaan pada masa itu mengambil kesempatan terhadap orang Felda Sendayan. Syukur Alhamdulillah, Sendayan pada hari ini Sendayan sudah dibangunkan.

“Siapa sangka, Sendayan yang dulunya hanya hutan, kini sudah menjadi ‘Damansara Negeri Sembilan dan jika diteruskan Malaysian Vission Valley, Sendayan akan tentunya lebih membangun,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker