Moody’s turunkan unjuran ekonomi Malaysia

Moody’s Investors Service menyemak semula dengan menurunkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi tahun ini dan 2020, masing-masing kepada 4.4 peratus dan 4.3 peratus berbanding 4.7 peratus dan 4.5 peratus yang diunjurkan pada awal tahun ini.

Naib Presiden, Kumpulan Risiko Kedaulatan Moody’s Investor Service, Anushka Shah, berkata agensi penarafan itu menjangkakan ekonomi Malaysia akan berkembang perlahan pada tahun ini, sama seperti yang dicatatkan pada tahun lalu.

Katanya, pertumbuhan itu bagaimanapun adalah lebih kukuh jika dibandingkan dengan negara lain yang mempunyai persamaan dengan Malaysia dari segi ekonomi.

“Apabila melihat keseluruhan pertumbuhan ekonomi Malaysia, kita juga perlu melihat kepada kepelbagaian ekonomi yang menjadi kekuatan kepada asas kredit Malaysia.

“Selain itu, struktur ekonomi Malaysia yang kompleks iaitu terdapat banyak industri yang memacu pertumbuhan ekonomi negara, dan bukannya industri tunggal menyebabkan ekonomi Malaysia menjadi lebih berdaya tahan kepada sebarang kejutan.

“Justeru, kami tidak menjangkakan ekonomi Malaysia akan mengalami kejatuhan mendadak tetapi akan berkembang secara perlahan-lahan” katanya.

Beliau berkata demikian pada taklimat media oleh Moody’s Investor Service di sini, hari ini.

Taklimat itu turut disertai oleh Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Kreditnya, Dr Michael Taylor dan Penganalisis Kanan, Institusi Kewangan Kumpulannya, Simon Chen.

Moody’s dalam kenyataan pada 7 Januari lalu mengunjurkan KDNK benar Malaysia bagi tahun ini akan berkembang perlahan 4.7 peratus, manakala tahun depan 4.5 peratus selepas mencatatkan kadar pertumbuhan purata lima peratus dari 2015 hingga 2018.

Firma penarafan global itu berkata, ketidaktentuan luar daripada dasar perlindungan akan mempengaruhi aktiviti perdagangan, manakala semakan semula terhadap projek infrastruktur dan perbelanjaan awam yang perlahan terbukti terus menjejaskan pertumbuhan.

Dalam pada itu, Taylor berkata Moody’s menjangkakan pasaran akan terus tidak menentu pada masa akan datang susulan ketidakpastian dasar daripada pentadbiran Amerika Syarikat (AS) terutama berkaitan perdagangan.

Katanya, meskipun AS dan China mencapai perjanjian perdagangan, masih terdapat ketegangan lain di antara AS dan rakan dagang utamanya itu yang akan terus mendominasi berita pada tahun ini.

“Pada pandangan saya, pasaran kewangan tidak menyukai ketidakpastian. Jika ada berlaku ketidakpastian, mereka akan terus bertindak balas terhadapnya.

“Selain itu, kami juga telah melihat keadaan kewangan yang semakin ketat pada tahun lalu. Pelabur antarabangsa mahu menyeimbangkan semula portfolio pelaburan mereka dengan mengalihkan modal dari satu pelaburan ke tempat yang lain.

“Penyeimbangan portfolio ini akan menyebabkan kadar pinjaman menjadi lebih mahal dan tinggi pada tahun ini,” katanya.

Berita Harian

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker