Tak adil kepada lepasan SPM, STPM jika iktiraf UEC

Kerajaan tidak wajar mengiktiraf dan memberi layanan sama rata kepada lepasan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) seperti lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Pakar bahasa Melayu merangkap Felo Utama Bersama Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Teo Kok Seong, berkata cadangan Kementerian Pendidikan untuk mengiktiraf dan mengguna pakai UEC untuk kemasukan ke institusi pengajian tinggi (IPT) adalah tidak adil kepada pelajar lepasan SPM dan STPM.

Biarpun kerajaan sedang melakukan kajian terperinci mengenainya, Kok Seong menegaskan beliau secara konsisten membantah cadangan mahu mengiktiraf sijil UEC untuk kemasukan ke IPT kerana sekolah persendirian Cina tidak pernah berada dalam sistem dan dasar pendidikan kebangsaan.

“Malah, sekolah persendirian Cina yang mengeluarkan sijil UEC pernah menolak tawaran kerajaan untuk menyertai sistem pendidikan negara pada 1962 kerana mereka mahu menggunakan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar. Kerajaan membenarkan mereka berbuat demikian pada masa itu kerana Malaysia adalah sebuah negara demokratik.

“Jadi bagi saya tiada masalah mereka enggan masuk ke dalam sistem pendidikan negara kerana itu adalah hak masing-masing dan mahu beroperasi sebagai sekolah swasta. Tetapi kenapa sekarang mereka menuntut kerajaan mengiktiraf sijil UEC dan masuk semula dalam sistem pendidikan negara dengan meletakkan syarat tertentu seperti hanya menyertai di peringkat ‘bagus dan baik’ sahaja iaitu di peringkat universiti atau IPT sahaja.

“Bagi saya ini adalah tidak adil kepada lepasan SPM dan STPM yang berada dalam sistem pendidikan negara sejak Tahun Satu lagi berbanding UEC yang hanya mahu menyertai terus di peringkat tertinggi atau IPT sahaja,” katanya mengulas cadangan kerajaan untuk mengiktiraf peperiksaan UEC untuk kemasukan ke universiti tidak lama lagi.

Bagaimanapun, Kok Seong menegaskan beliau tidak menafikan hak sekolah persendirian Cina untuk memohon kemasukan ke dalam sistem pendidikan negara dengan syarat mereka perlu mengguna pakai sukatan pelajaran sama seperti di sekolah kebangsaan dan menengah biasa.

Katanya, jika sekolah persendirian Cina mahu kerajaan mengiktiraf sijil UEC maka mereka wajar mengikuti sepenuhnya sistem pendidikan kebangsaan dengan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dalam pengajaran dan pembelajaran harian di sekolah kerajaan bukannya mengikut acuan sendiri seperti sekarang.

“Mereka juga perlu mengambil peperiksaan SPM dan STPM sepenuhnya bukan hanya separuh atau mata pelajaran tertentu umpamanya lulus bahasa Melayu dan Sejarah saja.

“Jika kerajaan meletakkan syarat lepasan UEC wajib lulus bahasa Melayu untuk kemasukan ke IPT maka ia adalah tidak adil kepada lepasan SPM dan STPM lain,” katanya.

BH

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker