#PrkRantau : Tok Mat kesal rancangan pemodenan N Sembilan terbantut

Share

Pemangku presiden Umno, Mohamad Hasan melahirkan rasa kesal apabila banyak perancangan dibuat demi kemajuan Negeri Sembilan terbantut setelah BN tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.

“Walaupun orang kata kita tak buat apa-apa, saya yakin orang Negeri Sembilan faham apa yang telah kita buat.

“Apa yang mengecewakan sekali adalah kita punya perancangan pembangunan 30 tahun pemodenan Negeri Sembilan (2015-2045) tak disambung nampaknya,” katanya dalam ceramah di Kampung Sendayan, Rantau malam tadi.

Mohamad berkata demikian dipercayai bagi menjawab kenyataan Presiden PKR, Anwar Ibrahim baru-baru ini yang mengatakan beliau gagal menjalankan tugas dengan berkesan ketika memegang jawatan sebagai menteri besar selama tiga penggal.

Menurut Mohamad, melalui perancangan kerajaan BN sebelum ini, Negeri Sembilan sepatutnya bakal menjamin pendapatan tahunan yang lumayan.

Jelasnya, perancangan itu bukan dibuat sembarangan, sebaliknya meminta pandangan daripada lima penasihat antarabangsa yang dilantik, termasuk daripada Universiti Cambridge, Singapura, Beijing dan Harvard.

“Malang tak dapat kita teruskan kerana kerajaan BN telah kalah dalam PRU-14 tempoh hari, maka terbantutlah,” katanya.

Antara perancangan lain yang terbantut, katanya, ialah pembinaan jalan baru, perkhidmatan kereta api Seremban-Port Dickson dan pembinaan tiga masjid baru.

Beliau turut mengkritik kerajaan PH yang didakwa menghentikan pembangunan dirancang BN.

“Jika kita hentikan pembangunan, orang takkan datang melabur, tiada pelaburan baru, tak ada modal.

“Jika ada pelaburan baru, akan ada pusingan modal yang berkali-kali ganda dan ia akan jadi pusingan ekonomi yang akan mendatangkan banyak faedah kepada orang ramai,” katanya lagi.

Mengambil contoh Malaysia Vision Valley yang diusahakannya ketika menjadi menteri besar, Mohamad berkata pendapatan RM1 bilion mampu dijana untuk negeri kecil seperti Negeri Sembilan.

“Macam saya buka Malaysia Vision Valley, telah ada jaminan setiap tahun akan dapat RM 500 juta duti daripada pendapatan premium dan pembangunan.

“Dan hasil cukai biasa (yang tak dinaikkan) lebih kurang RM200 juta.

“Senang-senang Negeri Sembilan yang tak sebesar mana, lebih kecil daripada Kinabatangan ini, tapi mempunyai bajet sebanyak RM1 bilion,” katanya.

Mkini

Leave a Reply