#PrkRantau : Bantu saya jadi ketua pembangkang Negeri Sembilan – Tok Mat

Pengundi di Rantau diharap memberikan sokongan kepada Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu bagi membolehkan Datuk Seri Mohamad Hasan menjadi ketua pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan.

Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, kemenangan amat penting agar beliau dapat memberikan khidmat kepada rakyat di Rantau dan Negeri Sembilan dengan melakukan tugas semak dan imbang kepada kerajaan negeri yang ditadbir Pakatan Harapan (PH).

“Pada 13 haribulan (April) bantu saya untuk masuk ke dalam DUN sebagai ketua pembangkang untuk kita semak kerajaan.

“Ia bukan untuk saya, tapi saya hendak berkhidmat kepada rakyat di Rantau dan Negeri Sembilan supaya kerajaan PH ini jangan tipu rakyat lagi, jangan lagi cakap-cakap kosong, semua janji yang dibuat mesti ditunaikan,” katanya.



Beliau berkata demikian sewaktu berucap dalam Majlis Mesra Bersama Pemimpin di Bilik Gerakan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Pekan Sagga, Rantau di sini malam ini.

Yang hadir sama, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dan Pemangku Pesuruhjaya Pas negeri, Rafiei Mustapha.

Sementara itu, Mohamad yang juga merupakan bekas Menteri Besar memberitahu, sepanjang tiga penggal beliau sebagai wakil rakyat, pelbagai masalah dan isu yang melibatkan penduduk di Rantau telah dapat diselesaikan.

“Tapi tak tahulah jika tuan-tuan tidak mahu kenang jasa saya, tidak apalah, saya menangislah, apa nak buat,” katanya berseloroh. – UTUSAN ONLINE



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker