Najib sokong perbicaraan kesnya disiarkan secara langsung

Datuk Seri Najib Tun Razak menyokong agar perbicaraannya berdepan tujuh tuduhan berkaitan SRC International Sdn. Bhd. (SRC International) bermula pada Rabu depan disiarkan secara langsung.

Katanya, ia kerana rakyat mempunyai hak untuk tahu kebenaran berhubung kesnya itu.

“Saya akan menyokong siaran langsung kerana ia akan membantu ketelusan dan memastikan ‘rule of law’ (pemerintahan mengikut undang-undang) dipatuhi,” katanya menerusi kenyataan dalam laman Facebook beliau hari ini.

Beberapa pihak sebelum ini terutamanya yang menentang Najib menggesa agar perbicaraan kes beliau disiarkan secara langsung, namun cadangan itu juga mendapat sokongan mereka yang bersama pemimpin itu supaya kes itu dikendalikan secara telus.

Mahkamah Tinggi di sini pada 28 Mac lalu menetapkan 3 April ini untuk perbicaraan tujuh pertuduhan melibatkan dana SRC International berjumlah RM42 juta yang dihadapi bekas Perdana Menteri tersebut.

Ia susulan keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan Ahli Parlimen Pekan itu menangguhkan perbicaraan kesnya.

Perbicaraan kes itu pada awalnya dijadualkan bermula 12 Februari sehingga 29 Mac ini tetapi ditangguhkan sebanyak dua kali selepas Mahkamah Rayuan pada 11 Februari dan 21 Mac lalu membenarkan permohonan penangguhan.

Pada 4 Julai tahun lalu, Najib, 66, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini atas pertuduhan tiga pertuduhan pecah amanah serta satu pertuduhan menyalahgunakan jawatan berhubung dana SRC. – UTUSAN ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker