#PrkRantau : Tok Mat jawab tuduhan tidak berasas Anwar

Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini menyangkal dakwaan bahawa beliau gagal menjalankan tugas dengan berkesan ketika memegang jawatan sebagai Menteri Besar negeri ini selama tiga penggal.

Timbalan Presiden UMNO itu berkata, pembangunan di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau dapat dilihat dengan jelas dan nyata apabila lebih 2,000 hektar tanah telah dibangunkan di Sendayan melalui projek Bandar Sri Sendayan (BSS).

“Selain pembangunan kediaman, Sendayan telah menarik pelaburan lebih RM2 bilion oleh syarikat tempatan dan antarabangsa di Tech Valley Sendayan.

“Jadi adalah tidak benar kalau hendak kata selama 14 tahun saya jadi Menteri Besar, negeri ini dan Rantau terutamanya tidak ada apa-apa pembangunan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mohamad mengulas dakwaan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau telah gagal menjalankan tugas dengan berkesan ketika memegang jawatan sebagai Menteri Besar negeri ini selama tiga penggal.

Menurut Ahli Parlimen Port Dickson itu, ia dapat dilihat apabila tiada pembangunan di Rantau mahu pun negeri ini secara keseluruhannya.

Mohamad memberitahu, syarikat membuat brek karbon kapal terbang terbesar di dunia, Safran Messier-Bugatti-Dowty telah membuka kilang di Sendayan dengan pelaburan lebih RM1 bilion.

Jelasnya, Daihatsu Motor Co. Ltd. dan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) telah melancarkan kilang pengeluaran enjin di kawasan industri itu selepas Akashi Kikai Industry Malaysia Sdn. Bhd. membina kilang pengeluaran gear automatik.

Tambahnya, pengeluar trak dan bas terkemuka Jepun, Hino Motors Ltd. pula membuka Pusat Sokongan Menyeluruh Hino (HTSCC) di Tech Valley Sendayan.

Beliau menarik perhatian, banyak pembangunan telah dijalankan di seluruh negeri ini tetapi ia dilaksanakan secara terkawal supaya semua lapisan rakyat mendapat nikmat daripada usaha tersebut.

“Kita tidak mahu pembangunan dilakukan secara berleluasa hingga akhirnya nanti menyebabkan penduduk asal seperti di kawasan seperti Rantau tertekan dan terpaksa berpindah randah ke kawasan lain,” ujarnya.

Katanya, rancangan kerajaan negeri sebelum ini ialah mengekalkan Rantau sebagai kawasan kediaman kondusif dan selesa dengan harapan tekanan untuk berhijrah ke bandar dapat diperlahankan. – UTUSAN ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker