#PrkRantau : Kesalahan beri kupon makanan percuma oleh ahli parlimen PH menjelang PRK.

Bersih pertikai agihan kupon makanan percuma menjelang PRK Rantau

Pemantau pilihan raya, Bersih 2.0 mempersoalkan tindakan Ahli Parlimen Miri, Dr Michael Teo mengagihkan kupon makanan kepada pelajar miskin di Rantau, Negeri Sembilan.

Tindakan itu dilaporkan dibuat atas permintaan Dr Streram Sinnasamy, calon Pakatan Harapan bagi pilihan raya kecil Rantau, bulan depan.

Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 dalam satu kenyataan berkata, Seksyen 8 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 jelas menyatakan ia adalah satu kesalahan pilihan raya untuk menjamu sesiapa makanan dan minuman, memberi bekalan keperluan, wang, tiket atau perkara lain secara rasuah untuk mempengaruhi mereka mengundi pada pilihan raya.

Seksyen 8 dan seksyen lain di bawah akta sama turut menyatakan promosi berniat jahat dan permusuhan, rasuah dan pengaruh tidak wajar, bermula dengan frasa “sebelum, semasa dan selepas pilihan raya”.

“Bersih ingin menyarankan tafsiran ‘sebelum pilihan raya’ bermakna sebelum hari pencalonan. Jadi, adalah munasabah tempoh permulaan untuk kesalahan pilihan raya diambil kira ialah apabila sesebuah kerusi itu diisytiharkan kosong atau ketika Parlimen atau Dewan Undangan Negeri dibubarkan.”

Kerusi DUN Rantau diisytiharkan kosong pada 26 Februari lalu, selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan penyandangnya, Mohamad Hasan terhadap keputusan Mahkamah Pilihan Raya untuk mengadakan pilihan raya.

Bersih berkata, ia adalah pengetahuan umum yang PRK akan diadakan dan “munasabah untuk mengandaikan semua kegiatan politik tidak dijadualkan yang dijalankan di kawasan itu dilakukan untuk memancing undi”.

Katanya, Streram turut hadir dalam program pengagihan kupon makanan percuma berjumlah RM75,000 kepada kira-kira 300 pelajar di Rantau, dengan setiap seorang menerima RM50 hingga RM150.

Teo berkata, beliau turut mengadakan program sama di 8 sekolah sekitar kawasan Parlimennya dan memutuskan untuk meneruskan program itu di Rantau atas permintaan Streram selaku penyelaras PKR di kawasan itu.

Bersih berkata, terpulang kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap Teo, walaupun mereka percaya wakil rakyat itu sudah melakukan kesalahan pilihan raya.

“Bersih menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya mengambil semua langkah perlu bagi menangani dan memastikan semua pihak mematuhi Akta Kesalahan Pilihan Raya.”

FMT

One thought on “#PrkRantau : Kesalahan beri kupon makanan percuma oleh ahli parlimen PH menjelang PRK.

  • March 29, 2019 at 17:33
    Permalink

    Dengar khabar SPRM ada tubuhkan pejabat di rantau. Yg di Cameron Highlang dulupun beri duit minyak tak ada jugak tindakan. Boleh caya ke ni?

    Reply

Leave a Reply