MENGAPA ASET UMAT ISLAM TABUNG HAJI DISELIA BUKAN ISLAM?

Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia amat terkilan dengan jawapan bertulis Kekanda YB Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa di Parlimen kelmarin (Rujuk Malaysiakini 27 Mac 2019) yang akhirnya mengakui bahawa aset-aset Tabung Haji bernilai RM19.9 Billion telah dijual dan dipindahkan daripada Tabung Haji kepada sebuah SPV (Urusharta Jamaah Sdn Bhd) yang hakikatnya diurus sepenuhnya oleh Prokhas Sdn Bhd yang mana CEOnya Chen Yin Heng.

Daripada awal lagi, Pemuda UMNO amat curiga apabila Menteri Agama mengumumkan pemindahan atau penjualan aset-aset Tabung Haji kepada sebuah SPV yang diletakkan dibawah Kementerian Kewangan yang Menterinya Lim Guan Eng. Sedangkan Tabung Haji boleh sahaja mewujudkan Syarikat SPV yang kekal dibawah seliannya sebagaimana model-model penerbitan Sukuk yang dilakukan oleh banyak institusi dalam dan luar negara dengan tujuan menstrukturkan kembali kedudukan aset dan liabiliti di dalam Kunci Kira-kira (Balance Sheet) institusi berkenaan.

Persoalannya apakah tiada langsung tokoh-tokoh Islam Bumiputera yang berkelayakan menguruskan harta umat Islam Tabung Haji?

Apakah jaminan aset-aset bernilai yang selama ini dimililiki oleh umat Islam melalui institusi yang cukup dihormati dunia Tabung Haji satu persatu tidak dikhianati dan jatuh ke tangan orang lain?



YB Mujahid juga bertanggungjawab untuk meyakinkan umat Islam bahawa penstrukturan korporat Tabung Haji melalui penjualan aset-aset kepada Syarikat SPV adalah telus dan tiada kompromi terhadap kepentingan umat Islam termasuk aspek pematuhan Syariahnya lantaran terlalu banyak kesangsian dan kerahsiaan dalam transaksinya yang melibatkan aset-aset umat Islam sebelum ini.

Justeru Pemuda UMNO mendesak agar YB Dr Mujahid mengambil tanggungjawab sepenuhnya selaku Menteri yang diamanahkan menjaga kepentingan Institusi terulung umat Islam Tabung Haji dengan memberikan jawapan yang telus dan tuntas atas segala keresahan rakyat terutamanya di kalangan umat Islam hari ini.

Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

27 Mac 2019



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker