‘Kenapa ambil peguam luar, tidak peguam sendiri?’

Tindakan Peguam Negara, Tommy Thomas menggunakan khidmat peguam bebas dari luar mengundang persoalan sama ada beliau tidak yakin dengan kredibiliti peguam dari Jabatan Peguam Negara.

Ketua pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu, Jabatan Peguam Negara mempunyai ramai peguam yang boleh dianggap sebagai antara yang terbaik dalam negara dan pakar dalam pelbagai bidang.

Ismail Sabri malah melihat tindakan Tommy melantik peguam bebas itu seolah-olah memperkecilkan keupayaan peguam-peguam dalam Jabatan Peguam Negara.

“Dari segi Perlembagaan Persekutuan memang Peguam Negara mempunyai hak dan kuasa tetapi persoalan yang dibangkitkan Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan adalah mengapa melantik pegawai dari luar?



“Kes jenayah bukanlah sampai tiada orang yang layak di Jabatan Peguam Negara tetapi akhirnya melantik peguam dari luar. Saya difahamkan kes berkaitan petisyen pilihan raya pun guna peguam luar. Itu kita tak persoalkan dari segi bayaran dan sebagainya lagi. Soalan saya kenapa tak percaya pegawai sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di lobi Parlimen, di sini hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong dalam sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri mempertahankan tindakan Tommy melantik bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai ketua pasukan pendakwaan dalam kes 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Vui Keong menjawab soalan tambahan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) yang ingin mengetahui sama ada Jabatan Peguam Negara tidak mempunyai timbalan pendakwa raya yang berkelayakan untuk mendakwa Najib dan pemimpin lain kerana melantik peguam luar. – UTUSAN ONLINE



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker