Terconteng arang di wajah kehakiman negara

oleh Ab Jalil Backer

KEPUTUSAN Peguam Negara, Tommy Thomas, menarik balik pertuduhan membunuh ke atas warga Indonesia, Siti Aisyah, minggu lalu sangat memalukan sistem keadilan dan kehakiman Malaysia.

Mengikut pertuduhan, Siti Aisyah dan warga Vietnam, Doan Thi Huong bersama-sama empat lagi individu yang masih bebas, didakwa membunuh Kim Chol, saudara tiri kepada Presiden Korea Utara, di Balai Berlepas, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (Klia2) Sepang kira-kira jam 9 pagi, 13 Februari 2017.

Peristiwa ini telah mendapat liputan seluruh dunia kerana ia dilihat membabitkan situasi politik Semenanjung Korea. Kaedah pembunuhan juga luar biasa. Ia dilakukan ala-ala filem zaman Perang Dingin tahun 80 dan 90-an.

Menurut fakta kes pada 13 Februari 2017, kedua-dua mereka telah melumur agen saraf VX pada muka mangsa di Lapangan Terbang Kuala Lumpur. Untuk berlaku adil, kedua-dua mereka mendakwa hanya diupah melakukan “gimik gurauan” oleh empat lelaki korea yang baru mereka kenali dan tidak tahu bahan itu adalah berbahaya.

Namun pada tahun lalu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berpuas hati bahawa pendakwaraya telah membentangkan kes melampaui keraguan munasabah lalu memerintahkan kedua-dua tertuduh membela diri.

Justeru tindakan Peguam Negara menarik balik tuduhan tersebut sangat mencurigakan. Lebih mencurigakan ialah penarikan balik tuduhan hanya ke atas warga Indonesia sahaja. Mengapa warga Vietnam tersebut masih didakwa?

The New Straits Times (NST) pada 11 Mac 2019 yang memetik laporan Reuters menyatakan penarikan balik tuduhan ke atas Siti Aisyah adalah atas permintaan Indonesia (Malaysia agreed to Indonesia's request to free Aisyah: Tommy Thomas).

Tindakan Peguam Negara menarik balik tuduhan tersebut atas permintaan kerajaan Indonesia bukan sahaja telah menghina keputusan hakim tetapi juga menimbulkan skandal yang luar biasa

Pada hari Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dengan penuh bangga menyatakan dalam Parlimen bahawa integriti Malaysia sudah kembali pulih; Peguam Negara lantikan beliau telah menarik balik satu tuduhan membunuh atas permintaan sebuah negara asing

Apakah tindakan ini bertujuan memberi “political milleage” kepada Presiden Jokowi Widodo yang sedang berhadapan dengan kempen Piihan Raya Presiden ketika ini?

Presiden Jokowi bukan sahaja menerima kedatangan Siti Aisyah di Istana Presiden, malah beliau membuat sidang akhbar menyatakan pembebasan tertuduh ini adalah hasil usaha yang begitu panjang daripada pentadbirannya dengan kerajaan Malaysia
Sungguh pun Dr Mahathir, seperti biasa, menafikan beliau mempunyai pengetahuan mengenai usaha ini; namun kenyataan Jokowi ini harus dianggap benar kerana ia turut diakui oleh Menteri Hukum dan Hak Asasi Manusia, Yasonna H. Laoly dan Peguam Negara Malaysia
Yasonna H. Laoly dalam sidang media beliau mendakwa rundingan pembebasan Siti Aisyah telah dilakukan sejak Ogos 2018 dan beliau sendiri menemui Dr Mahathir untuk memberi alasan mengapa Siti Aisyah perlu dibebaskan

Kolum ini pada 13 Ogos 2018 pernah menyiarkan sebuah artikel bertajuk, “Equanimity bakal menggoncang Malaysia dan Indonesia?”.

Dalam artikel tersebut saya mempersoalkan keabsahan Indonesia membenarkan Malaysia mengambil alih kapal layar Equanimity tanpa melalui proses perundangan ekstradisi biasa.

Ketika itu tampak Jokowi telah melanggar arahan Mahkamah Indonesia yang memutuskan penyitaan Equanimity Cayman adalah tidak sah dan tidak berdasar hukum serta mengarahkan ia dikembalikan kepada pemiliknya, Equanimity Cayman Ltd.

Agak sukar untuk sesiapa saja yang memahami neraca politik tidak memandang serong rentetan peristiwa ini.

Pada Ogos 2018 adalah bulan Menteri Hukum Indonesia memohon pertolongan Mahathir membebaskan Siti Aisyah. Ogos 2018 juga bulan Jokowi melanggar keputusan Mahkamah Indonesia dengan menghantar kapal layar Equanimity ke Malaysia.

Ketika itu pentadbiran Pakatan Harapan amat memerlukan kapal layar tersebut bagi sebagai bahan politik meredakan simpati rakyat kepada Mohd Najib Razak.

Kali ini Jokowi yang sedang berhadapan kempen Pilihan Raya Presiden paling sengit pula dengan pantas mengakui pembebasan Siti Aisyah adalah hasil usaha pentadbiran beliau.

Maka sukar untuk rakyat biasa mahu percaya bahawa pembebasan Siti Aisyah hasil “surat ajaib” Peguam Negara ini tiada kena mengena dengan persetujuan Jokowi -Mahathir pada Ogos tahun lalu.

Jangan salah faham, kita tidak menafikan hak Peguam Negara untuk mendakwa, menarik balik pertuduhan atau tidak meneruskan kes.

Sama seperti Pejabat Peguam Negara menyelamatkan Lim Guan Eng dari perbicaraan rasuah atas pertimbangan luar hal keadilan, demikian juga keputusan ke atas Siti Aisyah. Ia adalah kuasa besar Peguam Negara. Ia adalah kuasa besar Peguam Negara.

Namun apabila keputusan hal hukum dan keadilan dibuat atas faktor selain keadilan, maka keputusan tersebut ibarat mencoteng arang ke wajah kehakiman negara.

Anehnya segala peguam-peguam pro-Pakatan Harapan yang selalu bertindak seperti “murai tercabut ekor” dalam hal Pejabat Peguam Negara dan badan Kehakiman sebelum ini diam seribu bahasa sekarang.
Hakikatnya tiada integriti yang boleh dibanggakan. Yang ada hanyalah peribahasa “ayam kokok berderai-derai tapi ekor penuh tahi”.

Penulis ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasionalis (Akar)

Sinar

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker