Kerjasama UMNO-PAS Serlah Keangkuhan Dap Yang ‘Macam Cacing Kepanasan’

Share


Keengganan Dap yang dilihat masih gagal memohon maaf atas keterlanjuran beberapa pemimpin mereka berhubung kerjasama UMNO dan PAS memperlihatkan parti berkenaan bukan sahaja angkuh malah terbukti mereka tidak sensitif terhadap perkara yang boleh mengguris mana-mana pihak di negara ini.

Timbalan Ketua UMNO Kuala Terengganu, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata apa yang dipupuk menerusi kerjasama UMNO- PAS adalah untuk kepentingan seluruh rakyat dan bukannya bersifat ‘rasis’ malah amat jauh sama sekali untuk menindas mana-mana kaum dan juga mana-mana agama.

Justeru beliau melihat kenyataan-kenyataan yang terpancul daripada pimpinan Dap mengenai kerjasama tersebut tidak ubah seperti ‘cacing kepanasan’ apatah lagi dalam keadaan negara yang diperintah oleh kerajaan baharu hari ini tidak menepati segala yang dijanjikan sebelum ini.

“Pada saya kenyataan mereka sebelum ini mungkin pertamanya untuk mengalih tumpuan dan perhatian rakyat terhadap kegagalan serta kelemahan mereka dalam urus tadbir negara setelah diberikan kepercayaan oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu.

“Kenyataan-kenyataan yang tidak sensitif apatah lagi sehingga kini masih berdegil untuk memohon maaf atas keterlanjuran mereka itu tidak pelik pun bagi kita dan percaya mereka akan terus menerus dengan tindakan angkuh sedemikian rupa.

“Sepertimana yang dikatakan… dengan kecelaruan dan dengan tuntutan rakyat terhadap segala janji sebelum ini, kenyataan seumpama itu sedikit sebanyak dapat mengalih tumpuan masyarakat umum terhadap mereka,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Najmil seterusnya menambah Dap perlu berlapang dada dengan mengambil kira apa yang dinyatakan oleh pelbagai pihak dan bukannya mengambil sikap sedemikian rupa.

“Bukankah mereka yang sering melaung-laungkan parti mereka berprinsip jadi inilah masanya untuk membuktikan kepada seluruh rakyat apatah lagi mereka hari ini sudah bergelar parti pemerintah negara bersama rakan sekutu yang lain menerusi Pakatan Harapan. Tunjukkanlah sedikit kematangan,” tambahnya lagi.

Sebelum ini Setiausaha Agung Dap yang juga Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata kerjasama UMNO-PAS adalah mengisytiharkan ‘perang’ terhadap bukan Melayu yang kemudiannya disunting.

Tidak habis di situ, kemudian Timbalan Speaker Dewan Rakyat yang juga Ahli Parlimen Dap, Ngar Kor Ming pula mendakwa Malaysia akan menjadi Afghanistan yang diperintah Taliban sekiranya UMNO dan PAS membentuk kerajaan. Apabila dikecam beliau mempersoalkan mengapa perlu meminta maaf berhubung kenyataannya.

Ini ditambah lagi dengan kenyataan Adun Mangkibol, Chew Chong Sin yang mengaitkan kes pembunuhan di dua buah masjid, di Christchurch, New Zealand dengan kerjasama antara UMNO dan PAS di Malaysia. – MediaUMNO

Umno Online



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *