Sultan Johor batal 2 program sempena Hari Keputeraan, tumpu pada pencemaran toksik

Sultan Johor membatalkan penganjuran dua acara sempena Hari Keputeraan Baginda iaitu Majlis Jamuan Teh serta Majlis Jamuan Negeri yang dijadualkan pada Ahad ini.

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah, keputusan itu demi rakyat kerana sedih melihat ada di antara mereka yang sengsara akibat pencemaran sisa toksik di Pasir Gudang.

“Ramai yang terjejas kerana pencemaran sisa bahan kimia akibat dibuat pihak tidak bertanggungjawab, malah ada yang masih dirawat di Unit Rawatan Rapi, manakala sekolah juga masih ditutup.

“Saya membatalkan dua acara ini oleh sebab tidak mahu berada di majlis yang meriah sedangkan ada rakyat yang masih menghadapi masalah dan masih menderita” titah Sultan Johor kepada Royal Press Office (RPO) sebentar tadi.

Majlis Jamuan Teh itu dijadualkan berlangsung pada 24 Mac ini, manakala Majlis Jamuan Negeri pula sepatutnya diadakan pada 25 Mac.

Sultan Ibrahim bertitah, dengan pembatalan acara itu,l juga membolehkan petugas-petugas membabitkan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan termasuk pasukan keselamatan bertumpu pada kerja-kerja pembersihan sisa toksik di Sungai Kim Kim.

“Sebagaimana kita tahu, ramai petugas yang juga penjawat awam dan juga pasukan keselamatan serta perubatan terbabit dalam operasi pembersihan dan saya amat menghargai komitmen serta dedikasi mereka.

“Oleh demikian, saya berasakan adalah wajar untuk membatalkan acara ini demi rakyat dan pasukan petugas yang bekerja keras tanpa mengira waktu,” titah Baginda lagi. – UTUSAN ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker