Tragedi Pasir Gudang : Patutnya isytihar darurat sejak hari pertama – TMJ

Share

Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim nampaknya tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan untuk tidak mengisytiharkan darurat becana di Pasir Gudang susulan pencemaran kimia yang bermula minggu lalu.

Tunku Ismail berkata darurat sepatutnya diisytiharkan sejak hari pertama ia berlaku.

“Dua ribu orang terkesan tetapi tidak perlu isytihar darurat, wow.

“Sepatutnya sejak hari pertama sudah isytihar darurat dan pindahkan penduduk ke tempat lain buat sementara. Sampai dapat jaminan ia selamat,” ciapnya di Twitter hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat tetapi pada masa sama menasihatkan semua pihak untuk terus berhati-hati dan dalam keadaan bersedia memandangkan masalah itu belum berakhir.

HRH Crown Prince of Johor
@HRHJohorII
Sepatutnya since first day dah isytihar Darurat dan pindahkan penduduk ke tempat lain buat sementara. Sampai dapat gurantee that it is safe.

HRH Crown Prince of Johor
@HRHJohorII
2000 people affected and no need to isytihar Darurat. Wow.. Amazing.

Beliau berkata demikian selepas kunjungannya di beberapa kawasan terjejas di sana dan mendengar taklimat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah.

Beberapa pihak telah menggesa agar pengisytiharan itu dibuat, termasuk oleh Anggota Parlimen Pasir Gudang yang membawa usul tergempar di Parlimen semalam.

Tunku Ismail bagaimanapun menerima keputusan kerajaan itu tetapi mencadangkan kawasan yang terjejas dikosongkan buat sementara.

“Tak isytihar tak apa. Tapi sekurang-kurangnya kosongkan kawasan sehingga semuanya stabil dan selamat,” katanya lagi.

Tunku Ismail dilaporkan melawat Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MMPG) yang dijadikan sebagai tempat rawatan awal bagi meninjau mangsa dan kelancaran operasi.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri Johor, Dr Sahruddin Jamal, setakat malam tadi kira-kira 2,000 orang telah terjejas dengan pencemaran kimia akibat pembuangan sisa toksik di Sungai Kim Kim di Pasir Gudang.

Mkini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *