Pemuda UMNO Ajak Bersolidariti Kutuk Tindakan Teroris Serang Masjid Di New Zealand

Share

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengajak orang ramai untuk bersama-sama bersolidariti mengutuk tindakan kumpulan teroris yang menyerang umat Islam di masjid dalam kejadian di New Zealand, hari ini.

“Sama-sama kita doakan keselamatan saudara-saudara Islam kita di Christchurch New Zealand yang dilaporkan diserang tembakan ketika hendak menunaikan solat Jumaat di Masjid Al Noor.

“Dalam kita sama-sama bersolidariti mengutuk tindakan kumpulan teroris yang menyerang umat Islam yang tidak berdosa di Masjid Linwood dan Masjid Al Noor di Christchurch New Zealand, saya sarankan agar kita tidak ‘share’ atau berkongsi video ‘live’ yang dibuat oleh pembunuh gila berhati binatang yang sengaja mahu mempopularkan dirinya demi menjaga perasaan keluarga dan menutup aib jenazah orang Islam yang dibunuh dengan cara yang begitu kejam dan amat menyedihkan,” katanya dalam kenyataan menerusi laman Facebooknya hari ini.

Dilaporkan, sekurang-kurangnya 40 orang terbunuh termasuk seorang warga Malaysia dan lebih 20 cedera parah dalam insiden dua serangan tembakan rambang di dua masjid di Wellington, New Zealand, hari ini.

Serangan berdarah di Masjid al Noor, Christchurch itu telah distrim secara langsung selama 17 minit oleh penyerang yang memperkenalkan diri sebagai ‘Brenton Tarrant’, seorang lelaki berkulit putih dan berusia 28 tahun dilahirkan di Australia. – MediaUMNO

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *