‘Pengisytiharan perang’: Bukan sahaja gagal pertahan bos, DAP siap kena ‘game’ lagi

Niat mereka hendak mempertahankan kenyataan Lim Guan Eng (DAP-Bagan) minggu lalu berhubung frasa ‘pengisytiharan perang’ yang kemudian diperbetulkan, tetapi kelihatan usaha beberapa wakil DAP hanya seperti menegak benang basah.

Malah, mereka seperti kena game apabila masuk perangkap pembangkang yang sudah bersedia untuk mengenakan mana-mana wakil PH terutama DAP yang masih cuba mempertahankan kenyataan Guan Eng itu.

Ini bermula apabila Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) menegur frasa ‘pengisytiharan perang’ ketika berucap dalam perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan diraja hari ini.

Tegas Ismail Sabri, jika provokasi serius ini disambut bukan Melayu seperti mana kenyataan Guan Eng, pastinya menjerumuskan negara kepada peristiwa tidak diingini seperti tragedi 13 Mei 1969.

Kata-kata Ismail Sabri kemudian mengundang respons, Datuk Takiyuddin Hassan (Pas-Kota Bharu) yang seakan cuba menunjukkan contoh suasana tegang jika provokasi Guan Eng itu disambut dengan berkata, ‘kalau isytihar perang, kita boleh sambut perang. Itu akan berlaku’.

Dalam keadaan hiruk-pikuk selepas mendengar kata-kata Takiyuddin itu, beberapa wakil DAP kemudian bangun mahu beliau dirujuk kepada jawatankuasa khas.

RSN Rayer (DAP-Jelutong) juga menyentuh peraturan mesyuarat mengenai kenyataan Ismail Sabri kerana membangkitkan perasaan sakit hati tetapi cubaannya tidak kesampaian apabila disambut dengan sorakan wakil pembangkang tentang siapa yang sebut dulu iaitu merujuk kenyataan akhbar Guan Eng minggu lalu.

Kata Ismail Sabri, inilah contoh ketegangan apabila perkara sensitif dibangkitkan sambil menyindir wakil DAP itu dengan berkata: “Sebab itu jangan bangkitkan!”.

Rayer tidak puas hati dan bangun mempersoalkan siapa yang bangkitkan? Tetapi soalan Rayer itu memang menjerat beliau sendiri apabila seluruh dewan gegak gempita dengan jeritan:

“‘Bagan!, Bagan! (Guan Eng).”

Ini menyebabkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof meminta Rayer duduk kerana beliau berpeluang berbahas selepas ini dan memadai Guan Eng jawab isu itu nanti semasa sesi penggulungan perbahasan.

Selepas itu, Awang Hashim (Pas-Pendang) bangun mencelah mengingatkan 222 Ahli supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh ‘menimbulkan panas’ kerana mereka adalah pemimpin kepada 30 juta rakyat.

Ismail Sabri kemudian menyambung ucapan dengan menegur penggunaan istilah negara Taliban jika kerjasama Pas-UMNO menjadi kerajaan yang perlu ditarik balik oleh Nga Kor Ming (DAP-Teluk Intan).

“Provokasi agama adalah isu amat serius, memandangkan negara ini didiami pelbagai kaum dan jika tidak dibendung, paling dibimbangi kesannya kepada negara,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker