Pas cadang wujudkan jawatan Timbalan Menteri Besar Kedah

Perang mulut antara Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri, Muhammad Sanusi Mohd. Nor dan Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berlarutan dengan kali ini Menteri Besar itu diminta tidak cepat gelabah dan melatah.

Katanya, beliau tidak pernah sama sekali menyebut Pas dan UMNO akan menubuhkan kerajaan di Kedah bersama tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR malah di peringkat pusat juga tidak pernah dibincangkan lagi mengenai kerajaaan Perpaduan ini.

Ujarnya, Pas dan UMNO tidak cukup kerusi pun di Kedah untuk menubuhkan kerajaan dan sindiran Mukhriz mengenai sikap pemurah UMNO menyerahkan negeri itu kepada Pas melalui kerajaan Perpaduan tidak berbangkit.

“Saya tidak sebut sama sekali Pas-UMNO akan tubuhkan kerajaan di Kedah bersama tujuh ADUN PKR. Ini andaian MB (Menteri Besar) yang kita sendiri dapat meneka puncanya. Rilek….jangan melatah.

“Kerajaan Perpaduan UMNO-Pas belum dibincang oleh Pas Pusat, apatah lagi Pas Kedah. Ia baru di peringkat cadangan yang dilontarkan oleh Timbalan Presiden UMNO sahaja. Kita tak cukup kerusi pun di Kedah untuk menubuhkan kerajaan,” katanya dalam status Facebooknya di sini hari ini.

Terdahulu, Mukhriz yang membalas kenyataan Muhamad Sanusi semalam mengenai kerajaan perpaduan mencabar UMNO dan Pas supaya melaksanakan terlebih dahulu konsep kerajaan Perpaduan di Kelantan dan Terengganu, bagi membuktikan kerjasama yang terjalin antara kedua-dua parti itu.

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu dilaporkan berkata, perkara itu sudah tentu tidak akan menimbulkan sebarang masalah bagi UMNO dan Pas kerana kesemua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di kedua-dua negeri itu dikuasai oleh mereka sahaja, kecuali DUN Ayer Lanas di Kelantan

Sementara itu, Muhammad Sanusi melahirkan rasa kasihan dengan PKR yang mempunyai nama-nama besar namun sekadar ‘melukut’ di tepi gantang’ dalam kerajaan Kedah.

Beliau juga mencadangkan agar diwujudkan jawatan Timbalan Menteri Besar untuk diisi oleh pemimpin PKR agar memudahkan negeri ini diurus dengan baik apabila Mukhriz berada di Kuala Lumpur atau luar negara.

“Tak bolehkah MB pertimbangkan cadangan saya supaya wujudkan jawatan Timbalan Menteri Besar untuk mereka (PKR).

“Bila ada jawatan Timbalan Menteri Besar, jika MB berlama-lama di Kuala Lumpur, di London atau Kanada bersama keluarga, Timbalan Menteri Besar boleh menjalankan tugas MB di Wisma Darul Aman. Beri TMB (Timbalan Menteri Besar) kuasa mempengerusikan mesyuarat Exco. Tak perlulah lagi mesyuarat Exco Kedah terpaksa di buat di Tapah, Perak,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker