Ahmad Maslan Tanya Integriti Kabinet PH Tapi PM Beri Jawapan Ke Laut…(Video)

Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad tidak mampu menjawab persoalan yang dilontarkan oleh Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan di hari pertama sesi perbahasan Mesyuarat Penggal Kedua Parlimen Keempat Belas di dalam Usul Menjunjung Kasih dan Perbahasan Titah Diraja, di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen, di sini, hari ini.

Dalam soalan tambahan, Ahmad membangkitkan mengenai langkah kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk menjadikan Malaysia negara berintegriti tetapi dalam masa yang sama dibelenggu dengan masalah integriti peribadi menteri dan timbalan menterinya apabila menipu sijil kelayakan akademik serta kegagalan menunaikan janji.

“Untuk berhadapan negara berintegriti sedunia ini, saya lihat kerajaan Pakatan Harapan antaranya mempunyai dua masalah utama. Pertama, kontroversi sijil kelulusan ahli-ahli pentadbirannya dan yang kedua adalah kontroversi manifesto tidak ditunai.

“Dua perkara ini apakah yang akan dibuat oleh kerajaan PH untuk mengatasi terutama penipuan sijil. Terima kasih,” soal Ahmad yang menamatkan pertanyaannya tepat 30 saat sebagaimana yang diperuntukkan oleh Speaker Dewan Rakyat.



Tetapi, Tun Mahathir tidak menjawab atau bahasa mudahnya ke laut apabila seperti biasa menuding kesalahan kepada kerajaan lama atas kegagalan PH dan kononnya sebagai pendukung ‘rule of law’.

“Kita sedang berusaha untuk menunaikan janji-janji dalam manifesto kita tetapi perbuatan kerajaan yang lama serta juga undang-undang tidak mempermudahkan usaha ini.

“Sepatutnya pada hari ini kita sudah lihat mereka yang dituduh melakukan kesalahan berkenaan dengan kewangan negara khususnya SRC dan juga 1MDB, telah dikemukakan kepada mahkamah tetapi sebagai kerajaan yang patuh kepada ‘the rule of law’, kita patuh kepada tangguhan yang dibuat oleh mahkamah, kita hormati mahkamah walaupun rakyat bertanya-tanya kenapakah mereka yang jelas terlibat dengan rasuah tidak dihadapkan untuk dibicarakan dalam mahkamah.

“Ini soalan rakyat dan walaupun kita berusaha tetapi kita mestilah patuh kepada aturan peraturan dan ‘the rule of law’ yang kita terima dan kita laksanakan. Sekian, terima kasih.



Ironinya, Perdana Menteri Ketujuh itu langsung tidak menjawab soalan mengenai integriti anggota pentadbirannya yang mana status akademik mereka dipertikaikan kesahihannya.

Perkara tersebut turut mendapat perhatian Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi hantaran di Facebooknya yang berkata buat pertama kali beliau melihat Tun Mahathir memberi reaksi sedemikian, terkedu tidak mendapat jawab soalan dengan baik.

Dr Asyraf turut menimbulkan persoalan yang sama berhubung perkara berkaitan.

“Apakah Malaysia Baharu mampu menjadi negara berintegriti jika anggota pentadbiran terbelenggu dengan masalah integriti?,” soalnya.



Semalam, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan merasmikan Mesyuarat Penggal Kedua Parlimen Keempat Belas.

Antara lain, Seri Paduka bertitah agar pemimpin negara perlu mendengar dan mengambil kira tuntutan rakyat semasa merangka sebarang dasar serta program untuk mereka kerana rakyat mahukan sebuah kerajaan bertanggungjawab yang mendengar pandangan dan aspirasi mereka. – Media UMNO
UMNO ONLINE

https://www.youtube.com/watch?time_continue=5&v=_SEDTixF8jo



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker