Tunku Ismail bukan wakil rakyat – Dr. Mahathir

Share

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tanpa berselindung berkata Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bukan seorang wakil rakyat.

Beliau berkata demikian apabila ditanya mengenai kenyataan Tunku Ismail yang mempersoalkan kewajaran penyertaan Malaysia dalam Statut Rome Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) tanpa persetujuan Majlis Raja-raja.

“Dia bukan wakil rakyat. Bercakap untuk diri dia sahaja,” kata Dr. Mahathir kepada pemberita selepas Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Parlimen Ke-14 di sini hari ini.

Tunku Ismail dalam laman Facebook milik beliau semalam berkata, penyertaan Malaysia dalam Statut Rom dibuat secara terburu buru tanpa pertimbangan menyeluruh dengan mengambil kira implikasi undang undang yang serius terutama terhadap kedaulatan Malaysia dan kekebalan Yang di-Pertuan Agong.

“Artikel 27 Statut Rom memperuntukkan bahawa kekebalan atau peraturan-peraturan khas yang terpakai bagi seseorang semasa menyandang jawatan rasminya di bawah undang-undang domestik atau antarabangsa tidak boleh menghalang Mahkamah Jenayah Antarabangsa daripada melaksanakan bidang kuasanya ke atas orang sedemikian.

“Artikel ini merupakan salah satu aspek penting kerana ia menyentuh isu kekebalan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu di bawah Perkara 32 (1), Perkara 181(2), Perkara 182 dan Perkara 183 Perlembagaan Persekutuan,” kata beliau.-UTUSAN ONLINE

Leave a Reply