Penyatuan Ummah : Jangan jadi syaitan

Share

KIRA-KIRA 10 tahun lalu, dalam satu pertemuan dengan seorang pemimpin kanan Pas di ibu pejabat parti itu, penulis bertanya kepada beliau: “Sampai bilakah Pas akan melihat UMNO sebagai musuh paling nyata? Apakah tiada langsung ruang untuk kedua-dua parti itu mencapai persefahaman terutamanya melibatkan kepentingan orang Melayu dan agama Islam?”

Pemimpin tersebut yang kini menjadi salah seorang kepemimpinan tertinggi Pas menjawab: “Jangan bimbang, apabila tiba masanya, kalau kita melihat orang Melayu semakin tergugat, agama Islam dipersendakan, percayalah kami akan bersama UMNO.”

Kini pertanyaan itu sudah direalisasikan, kedua-dua parti induk orang Melayu itu akhirnya menjalinkan kerjasama rasmi.

Seperti diduga ramailah termasuk pemimpin Melayu yang hanya disebabkan perbezaan fahaman politik memandang sinis kerjasama tersebut.

Kita tidak kisah jika yang menentang itu pemimpin politik bukan Melayu, itu hak mereka tetapi kalaulah pemimpin Islam sendiri berasa resah gelisah berikutan kesepakatan antara UMNO dan Pas tanpa melihat ia demi kepentingan penyatuan ummah, sesungguhnya ada sesuatu yang tidak kena.

Namun orang Melayu tidak perlu melayan keresahan puak berkenaan yang sudah tentunya melihat ia dari sudut politik, apatah lagi jika kedudukan kuasa politik mereka ditentukan oleh pengundi bukan Melayu.

RAHMAT KESEPAKATAN

Apa yang penting, tindakan pemimpin-pemimpin UMNO-Pas mencapai kesepakatan adalah rahmat kepada orang Melayu dan umat Islam. Langkah untuk bekerjasama dan berbaik-baik tersebut selaras dengan firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 103:

“…Dan berpegang teguhlah kamu semua dengan tali Allah dan jangan kamu bercerai berai.”

Justeru apa yang dilakukan oleh kedua-dua parti berkenaan adalah bertepatan dengan kehendak Islam, apatah lagi ketika ini umat Islam sedang diasak dari kiri dan kanan serta rasa hormat atau gerun kepada kaum majoriti tersebut semakin berkurangan.

Tindakan UMNO-Pas janganlah dilihat dari sudut politik sempit semata-mata, sebaliknya kajilah ia dari segi peringatan Rasulullah SAW dalam sebuah hadis riwayat Ahmad, Al-Baihaqi, Abu Dawud. Antara lain baginda mengingatkan;

“Setelah aku wafat, setelah lama aku tinggalkan, umat Islam akan lemah. Di atas kelemahan itu, orang kafir akan menindas mereka bagai orang yang menghadapi piring dan mengajak orang lain makan bersama.”

Maka para sahabat r.a. pun bertanya, “Apakah ketika itu umat Islam telah lemah dan musuh sangat kuat?” Baginda menjawab, “Bahkan masa itu mereka lebih ramai tetapi tidak berguna, tidak bererti dan tidak menakutkan musuh. Mereka adalah ibarat buih di laut.”

Sahabat bertanya lagi, “Mengapa seramai itu tetapi seperti buih di laut?” Jawab Rasulullah SAW: “Kerana ada dua penyakit, iaitu mereka ditimpa penyakit al-Wahn.”

Sahabat bertanya lagi, “Apakah itu al-Wahn?” Rasulullah SAW bersabda: “Cintakan dunia dan takut akan kematian.”

HILANG HORMAT ISLAM

Begitulah keadaan yang akan berlaku kepada umat Islam di negara ini jika mereka terus berbalah hanya disebabkan berbeza fahaman politik. Ketika ini secara tenang fikirkanlah tidakkah ketika ini umat Islam sedang ‘diratah’ sedikit demi sedikit kerana perbalahan sesama sendiri?

Lihatlah keberanian luar biasa sesetengah pihak yang semakin hilang rasa hormat kepada umat Islam sehingga sanggup menghina Rasulullah SAW dan bagaimana apabila seseorang atau mana-mana pihak memperjuangkan soal Melayu dan Islam mereka dituduh bersikap perkauman.

Tidak perlu ketika ini kita berhujah soal kerjasama politik antara UMNO-Pas, biarlah ia dilakukan secara berperingkat tetapi apa yang lebih utama pada masa ini ialah memberi isyarat kepada kelompok tertentu bahawa orang Melayu mampu bersatu apabila ada pihak melampaui batas dan besar kepala kerana merasakan mempunyai kuasa politik yang kuat.

Sesungguhnya pemimpin UMNO-Pas melakukan tindakan yang murni dalam soal menyatukan ummah. Dan sudah pastilah perpaduan ummah tersebut tidak perlu ditakuti oleh pihak-pihak lain khususnya bukan Melayu.

Ia memandangkan sejarah sudah membuktikan kedua-dua parti tersebut tidak pernah menganiaya mana-mana kaum apabila berkuasa. Tambahan pula dalam Islam sendiri sudah memberi peringatan yang tegas melalui firman Allah SWT dalam surah An Nisa’ ayat 58 bermaksud;

“Sesungguhnya Allah menyuruhmu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar dan Maha Melihat.”

Sebagai seorang yang mengikut sejarah pertembungan politik antara kedua-dua parti sejak 1991, penulis sama sekali tidak meragui keikhlasan pemimpin UMNO-Pas dalam menjalin kerjasama demi penyatuan ummah. Sudah pastilah akan ada cabaran dan rintangan, maklumlah perkara yang baik. Samalah apabila seorang hamba Allah mahu melakukan kebaikan pasti syaitan akan menggoda dan mengganggu, sama ada kerjasama tersebut akan diganggu oleh syaitan sebenar atau syaitan ‘jadi-jadian’ sama-samalah kita tunggu.

Apa yang pasti sebagai seorang Islam, apapun perkara demi kebaikan ummah harus disokong dan bukannya ditentang dengan hujah-hujah politik yang memualkan, bimbang kita dituduh berperangai seperti syaitan.

Zulkiflee Bakar
Utusan

Leave a Reply