Pecat Guan Eng! – Pas

Pas mahu Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bertindak dengan memecat Menteri Kewangan, Lim Guan Eng daripada barisan Kabinetnya berhubung kenyataan berbentuk hasutan yang dikeluarkan Setiausaha Agung DAP itu.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan juga menganggap kenyataan DAP itu sekali gus mengesahkan DAP sebagai sebuah parti yang bersikap cauvinis dan tidak demokratik, walaupun nama DAP diterjemahkan sebagai ‘Parti Tindakan Demokratik’.

Katanya, Guan Eng sepatutnya melihat penyatuan ummah yang dipelopori Pas dan UMNO sebagai suatu langkah positif ke arah perpaduan masyarakat demi kebaikan negara selepas berpecah lebih 60 tahun lalu.

“Sebagai seorang pemimpin sebuah parti yang telah lama wujud, Guan Eng sepatutnya mengambil langkah yang sama untuk menyatukan masyarakat bukan Melayu terutamanya kaum Cina untuk kepentingan negara, bukannya mengapi-apikan perkauman sempit yang boleh ‘membakar’ negara.

“Pas melihat kenyataan Guan Eng itu amat merbahaya kepada keharmonian, perpaduan dan semua sistem yang ada dalam negara ini. Justeru, saya menyeru seluruh rakyat yang cintakan keamanan dan kerukunan agar membuat laporan polis terhadap Guan Eng kerana menghasut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Portal berita MalaysiaKini semalam memetik kenyataan Guan Eng yang menyifatkan kerjasama UMNO dan Pas sebagai satu ‘pengisytiharan perang’ ke atas masyarakat bukan Melayu.

Walau bagaimanapun, Guan Eng selepas itu telah mengubah kenyataannya dengan frasa ‘pengisytiharan perang’ ditukar kepada ‘menyasarkan’. – UTUSAN ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker