Guan Eng ulangi suara menghasut Kit Siang 13 Mei 1969 – Ismail Sabri

Tindakan Lim Guan Eng mengeluarkan kenyataan bahawa kerjasama rasmi UMNO-Pas sebagai perisytiharan perang terhadap orang bukan Melayu tidak ubah seperti tindakan bapanya, Lim Kit Siang yang memimpin DAP pada 13 Mei 1969 yang akhirnya mencetuskan rusuhan kaum terburuk dalam sejarah negara.

Membangkitkan kebimbangan itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kenyataan Menteri Kewangan itu boleh dianggap sebagai hasutan dan provokasi kepada orang bukan Melayu terhadap orang Melayu.

Justeru, tegas beliau, pihak polis harus bertindak segera terhadap Guan Eng tanpa mengira kedudukan beliau hari ini.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak seharusnya berkompromi dengan apa jua unsur hasutan dan tindakan provokasi sebegini kerana ia boleh mencetuskan ketegangan kaum seperti peristiwa berdarah negara 13 Mei 1969. Perpaduan kaum lebih penting daripada Guan Eng.

“Jangan kita benarkan Guan Eng mengulangi kejahatan bapanya suatu ketika dulu sehingga mencetuskan 13 Mei 1969 dan menjadikan negara berada dalam sejarah hitam dan berdarah,” kata Ismail Sabri dalam blog beliau hari ini.

Tegas Ismail Sabri, sebagai seorang Menteri, Guan Eng sepatutnya menyeru kepada perpaduan antara kaum.

“Mutakhir ini walaupun orang Islam dicabar begitu dahsyat sehinggakan Nabi Muhammad SAW pun dihina. Apabila Nabi Muhammad SAW dihina, kita tidak mendengar walau sepatah komen dan kenyataan dari Guan Eng yang mengutuk tindakan sedemikian.

“Jadi, kenyataan Guan Eng tersebut menggambarkan sikap sebenar beliau yang merupakan seorang pemimpin yang sangat rasis dan perkauman. Kerjasama UMNO-Pas hanya untuk menyatupadukan Melayu dan Islam tanpa meminggirkan kaum lain. Tidak ada niat langsung untuk membuat provokasi ke atas kaum lain, malah Islam sentiasa adil dan menjaga kepentingan kaum minoriti.”

Ahli Parlimen Bera itu percaya tanggapan jahat Guan Eng itu lahir dari dalam dirinya yang sentiasa berfikiran rasis sempit.

Beliau bimbang jika tindakan dan sikap menghasut Guan Eng itu dibiarkan tanpa tindakan, ia akan mencetuskan bencana kepada negara.

“Dari kenyataan Guan Eng itu juga menggambarkan bahawa Pakatan Harapan berada dalam ketakutan dengan termeterainya kerjasama rasmi dua kuasa politik Melayu/Islam.

“Penyatuan Ummah yang sedang dijayakan UMNO-Pas ini bakal menjadi mimpi ngeri, malapetaka dan bencana kepada kerajaan PH yang terbina dari perpecahan Bangsa Melayu/Islam hasil dari fitnah dan perancangan halus bangsa DAP demi kuasa dan kedudukan,” kata Ismail Sabri.

-UTUSAN ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker