Ekonomi merudum : Sedih, tergamam diberhentikan kerja

Pagi itu, lebih sebulan lalu, Fakrul Rozi Mohd. Isa, 35, seorang pekerja syarikat pembersihan menjalankan tugas seperti biasa di sebuah sekolah di Langgar di sini.

Sedang asyik bekerja, Fakrul Rozi dikejutkan dengan panggilan daripada majikannya bahawa dia terpaksa diberhentikan dan tidak perlu datang lagi pada keesokan harinya.

Pada masa itu, hatinya luluh, tergamam dan begitu sedih memikirkan masa depannya yang bakal kehilangan kerja.

Alasan yang diberikan majikan yang mendapat tender pembersihan sekolah itu ialah terpaksa mengurangkan pekerja daripada tujuh kepada empat orang sahaja di sesebuah sekolah.

Sebagai pampasan setelah diberhentikan kerja, Fakrul Rozi hanya diberikan RM30 sebagai saguhati oleh majikannya itu.

Sehingga hari ini, Fakrul Rozi yang tinggal bersama ibunya yang berusia 69 tahun di sebuah kediaman kecil di kawasan pekan Langgar itu masih tidak mempunyai pekerjaan tetap dan hanya mengikut rakan me­lakukan kerja-kerja kampung seperti mesin rumput dengan pendapatan kira-kira RM500 sebulan.

“Kami bukan orang senang, hendak boleh kerja pada masa ini bukan senang. Mengapa perlu kurangkan pekerja. Saya harap pihak berkaitan dapat mengkaji semula agar sektor pembersihan ini tidak dikurangkan pekerja” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan seramai 45,000 pekerja pembersihan bangunan dan kawasan sekolah di seluruh negara diancam hilang pekerjaan jika Kementerian Pendidikan melaksanakan format tender baharu tahun ini.

Yang Dipertua Persatuan Kontraktor-Kontraktor Bumiputera Sisa Pepejal dan Pembersihan (Kosppem) Pahang, Datuk Tengku Abu Nirah Tengku Ahmad dilaporkan berkata, format itu perlu dikaji semula bagi mengelakkan lebih ramai rakyat kehilangan pekerjaan.

“Saya ada minta kerja di pelbagai tempat termasuk dalam kerja pembersihan dengan syarikat lain namun masih belum bernasib baik,” katanya.

Utusan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker