Penyatuan ummah : Manfaat kepada Melayu, Islam

ASAS dan dasar hampir sama. Cuma pendekatan berbeza. Pas dikenali dengan usrah akar umbi sehingga membentuk kesetiaan pengikut kepada kepemimpinan.

Begitu juga UMNO, konsep usrah sudah lama mahu dibawa Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki. Sejak dipilih sebagai ketua sayap parti itu, hampir setiap bahagian beliau sanggup turun santuni.

Usrah (keluarga) ini antara rahsia kenapa Pas boleh melahirkan pengikut setia yang tidak berbelah bahagi kepada parti.

Kalau musim berkempen, ada yang sanggup memerah keringat, ambil cuti dan bawa keluarga promosi parti itu.

Untuk melihat UMNO dan Pas bergabung di bawah satu logo agak sukar. Naib Presiden Pas, Datuk Mohamad Amar malah sebelum ini pernah meminta supaya UMNO dibubar sahaja dan ahlinya sertai Pas.

UMNO juga suatu ketika dulu amat `memusuhi’ Pas dan tidak ada tanda-tanda ke arah kerjasama antara kedua parti itu. Pas menjadi seteru kepada UMNO sejak sekian lama.

Namun, rantaian isu yang menggugat hak Islam dan Melayu khususnya pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) telah membuka mata kedua-dua kepemimpinan dan penyokong parti itu. Ini termasuklah dalam kalangan anak-anak muda.

Bermulalah kerjasama kedua-duanya dalam beberapa siri pilihan raya kecil (PRK) sejak tahun lalu. Setiap PRK dimantapkan usaha itu sehinggalah pengurusan kempen kedua-duanya menjadi sangat kemas serta teratur seperti ditonjolkan dalam PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih baru-baru ini.

Benar sebagaimana diramalkan banyak pihak, kerjasama UMNO-Pas berjaya menarik kelompok kedua-dua parti sekali gus memacu kemenangan Barisan Nasional (BN) pada PRK tersebut.

Majoriti kecil ke besar bukan jadi bualan, yang penting menang. Serupalah kalau Liverpool menang dengan Manchester United, 1-0 pun penyokong The Reds sudah terlalu gembira.

Kerjasama secara rasmi antara kedua-dua parti yang diumumkan semalam sudah tentu memberi dimensi baharu kepada pergerakan politik negara. Selepas keluar daripada gabungan BN pada 1978, Pas kini menjalin semula kerjasama dengan UMNO.

Sejauh mana kerjasama ini akan membuahkan hasil? Hanya masa yang menentukan. Namun, apa yang pasti ialah kerjasama antara kedua-dua ini akan memberi manfaat kepada orang Melayu dan Islam.

Kerana dulu, kini dan selamanya Islam itu memimpin dan dipimpin, maka wajar untuk kedua-dua parti tersebut terus istiqamah memperjuangkan agenda Melayu serta Islam. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply