Isu bayaran Pas kepada Claire Rewcastle Brown : Pas anggap Anwar terdesak – Takiyuddin

Tiada bayaran RM1 juta kepada Rewcastle-Brown – PAS

PAS menegaskan tiada sebarang bayaran dibuat kepada pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown bagi penyelesaian luar mahkamah kes saman fitnah difailkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung dakwaan penerimaan RM90 juta daripada UMNO.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata berdasarkan Perintah Persetujuan (Consent Order) yang direkodkan di hadapan Master Brown di Mahkamah Tinggi London pada 1 Februari lalu, selain kedua-dua pihak bersetuju tidak meneruskan tuntutan dan tuntutan balas masing-masing, mahkamah tidak membuat sebarang perintah mengenai kos kepada mana-mana pihak.

Beliau berkata, dengan kata lain pihak yang menuntut iaitu Presiden PAS yang dalam pliding mahkamah disebut sebagai ‘Mr. Awang’ tidak membayar apa-apa bayaran ataupun kos kepada defendan untuk penyelesaian kes itu di luar mahkamah.

“Perlu dijelaskan juga bahawa PAS lagilah tidak membayar apa-apa bayaran di mana-mana peringkat kes ini kerana PAS bukanlah satu pihak dalam tindakan ini.

“PAS menganggap kenyataan Presiden PKR (Datuk Seri Anwar Ibrahim) adalah langkah terdesak beliau bagi mengalihkan pandangan rakyat daripada isu ‘krisis keyakinan’ parti-parti dalam Pakatan Harapan terhadap Pengerusi mereka, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang juga Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan media, malam ini.

Takiyuddin berkata beliau terpanggil untuk menjelaskan kenyataan mengelirukan oleh Ahli Parlimen Port Dickson itu mengenai penyelesaian luar mahkamah bagi kes berkenaan.

Beliau berkata Perintah Persetujuan secara jelas menyatakan tiga perkara iaitu Pihak Yang Menuntut tidak meneruskan tuntutannya, pihak defendan tidak meneruskan tuntutan balasnya dan tiada perintah mengenai kos.

Sebelum ini Anwar mencabar PAS menjelaskan sama ada parti itu membayar lebih RM1 juta kepada Rewcastle-Brown, sebagai kos untuk menyelesaikan saman antara kedua-dua pihak di luar mahkamah.

Presiden PKR itu dilaporkan berkata penjelasan PAS itu perlu selepas pihaknya mendapati afidavit kes yang difailkan oleh Rewcastle-Brown tidak selari dengan penjelasan PAS, sekali gus menimbulkan banyak kekeliruan dalam penyelesaian kes berkenaan.

BH

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker