“PRK lagi, ada apa Semenyih?”

Share

oleh Ab Jalil Backer

Pilihan Raya Umum (PRU14), negara ini sudah merekodkan 6 Pilihan Raya Kecil (PRK). Empat dari enam PRK tersebut membabitkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor kawasan Sungai Kandis, Balakong, Seri Setia dan terbaharu yang sedang berlangsung ialah Semenyih.

Manakala PRK kawasan Parlimen PRK barlangsung di Port Dickson (Negeri Sembilan) dan Cameron Highlands (Pahang). PRK ketujuh sudah pasti apabila mahkamah mengisytiharkan keputusan PRU14 DUN Negeri Sembilan kawasan Rantau batal berikutan kesilapan pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mentafsir peraturan pas masuk.

Lima pilihan raya sebelum ini, pembangkang hanya menang sekali iaitu di Cameron Highlands menerusi Barisan Nasional (BN). BN kalah di Sungai Kandis, MCA kalah di DUN Balakong; manakala Pas kalah di Seri Setia dan Port Dickson. Cameron Highlands mencatatkan peratusan keluar mengundi tertinggi setakat ini iaitu sebanyak 68.79% diikuti oleh Port Dickson (58.3%).

Kesemua PRK di Selangor mencatatkan jumlah keluar mengundi yang sangat rendah iaitu di bawah 50%. PRK Balakong mencatatkan peratusan keluar mengundi terendah iaitu 43% diikuti Seri Setia (44.1%) dan Sungai Kandis (49.9%).

Jumlah keluar mengundi yang rendah di Selangor ini mencatatkan rekod baru dalam PRK di Semenanjung Malaysia. Rekod sebelum ini ialah dalam PRK DUN Penanti, Pulau Pinang (2006) yang mencatatkan 46%.

Apakah majoriti pengundi Selangor merasa bosan dengan terlalu banyak politik pasca PRU14, atau berpendapat undi mereka tidak akan memberi apa-apa perubahan signifikan kepada pentadbiran negeri Selangor yang telah pun dikuasai oleh Pakatan Harapan.

Ketiga-tiga PRK DUN Selangor sebelum ini merupakan kawasan tradisi PKR dan DAP sejak beberapa penggal lalu. Pembangkang tiada harapan menang mungkin antara faktor pengundi non partisan menjauhi diri.

PRK di Selangor pada 2018 juga diadakan ketika gelombang kemenangan Pakatan Harapan masih tinggi dan rakyat dijanjikan satu pembaharuan yang luar biasa. Namun PRK DUN Semenyih membawa dimensi baharu. Semenyih secara tradisinya merupakan kawasan BN-UMNO. Hanya dalam PRU14 BN kalah akibat sentimen nasional, persempadanan semula kawasan dan beberapa faktor dalaman UMNO sendiri, termasuk kemunculan Bersatu.

PRK kali ini menyaksikan saingan empat penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan (PH), Muhammad Aiman Zainali; calon Barisan Nasional (BN), Zakaria Hanafi; calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Nik Aziz Afiq Abdul serta calon Bebas, Kuan Chee Heng.Tradisi pengundian di kawasan sub bandar seperti Semenyih ini sentiasa membabitkan tiga parti utama iaitu BN, Pas dan PH. PSM sentiasa mempunyai penyokong setia mereka tetapi tidak mencukupi untuk mengugat BN dan PH.

Manakala penampilan calon bebas Kuan Chee Heng yang popular dengan panggilan Uncle Kentang juga agak sukar mengubah pola pengundian. Uncle Kentang yang popular sebagai aktivis masyarakat dijangka sukar menembusi pengundi luar bandar yang merupakan sebahagian besar pengundi di Semenyih.BN membuat mencalonkan Zakaria Hanafi, aktivis masyarakat yang tidak begitu menonjol tetapi berpengalaman. Ini sangat “luar biasa” berbanding calon-calon BN kawasan tersebut sebelum ini yang sentiasa mewakili hierarki kepimpinan UMNO Bahagian.

Manakala Bersatu meletakkan Muhammad Aiman Zainali, menantu kepada bekas wakil yang meninggal, sebagai calon PH. PH dilihat mahu bergantung kepada sokongan dan simpati terhadap allahyarham Bakhtiar Mohd Nor bagi mengekalkan kerusi tersebut. Setelah seminggu berkempen, faktor calon nyata bukan kelebihan PH.

Calon BN kelihatan lebih berkeyakinan, matang dan mudah didekati pengundi. Calon PSM juga tampak meyakinkan. Manakala calon PH banyak kali membuat kenyataan yang dilihat menembak pasukan sendiri. Beliau membawa isu kesesakan jalan raya, jalan berlubang dan masalah sampah yang semuanya merupakan itu di bawah kerajaan negeri PH sejak 10 tahun lalu. Janji beliau hari ini menang esok selesai semua masalah ditegur secara terbuka oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.Tidak cukup menembak kaki sendiri, calon PH juga berjanji akan membina hospital di Semenyih. Janji ini tidak mungkin dilaksanakan kerana semenyih berada dalam radius tidak sampai 30KM daripada Hospital Kajang.

Janji bulan bintang seperti ini sangat sensitif kepada pengundi yang masih rasa tertipu dengan manifesto PH. Akibatnya, sepanjang kempen ini jentera PH terpaksa membuat kerja “mengawal kerosakan” dengan pelbagai pengumuman peringkat nasional berbanding meyakinkan pengundi mengenai kebolehan calon mereka.

Namun di Semenyih ini, ia bukan sekadar pertandingan antara empat calon yang mendaftarkan diri untuk dipilih oleh 54,471 pengundi berdaftar. Ia merupakan pertarungan ideologi politik, kelangsungan politik Melayu, imej kerajaan dan kekuatan jentera parti PH ada kelebihan kerajaan negeri dan Persekutuan, manakala BN dan Pas mempertaruhkan “survival” politik Melayu dan rekod pembangunan lebih 50 tahun.Jika trend empat PRK lalu diambil kira, 90% daripada 32% undi bukan Bumiputera akan dibolot oleh PH.

Justeru BN perlu melakukan sesuatu keajaiban mendapatkan 90% pengundi Melayu bersama mereka.Pemerhati politik luar dan rakyat biasa pasti berharap BN menang supaya ia menjadikan DUN Selangor lebih menarik dan ingatan kepada parti pemerintah jangan memperkecilkan manifesto pilihan raya mereka.

Penulis ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasionalis (Akar)
Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *