Jikalau PH “memansuhkan” tol tetapi rakyat tetap perlu bayar caj kesesakan, itu bukan “pemansuhan” namanya! Faham tak – Wee Ka Siong

‘Sim dan Wong, berhentilah tegakkan benang basah’

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani merangkap Pengarah Strategi PKR Sim Tze Tzim hari ini tampil dengan usaha menegakkan benang yang basah berhubung isu tol.

Ya, saya tahu beliau memiliki ilmu dalam bidang kejuruteraan pengangkutan (transport engineering) ini kerana memperolehi sarjana dalam bidang tersebut.

Sim sebagai junior saya di Fakulti Kejuruteraan Awam UTM perlu kenal seniornya secara mendalam sebelum membidas.



Secara kebetulan, saya juga memiliki sarjana kejuruteraan (kejuruteraan trafik) dari Pusat Kajian Pengangkutan NTU Singapura, jauh lebih awal daripada Sim.

Maka tidak adil bagi junior saya, iaitu Sim, mengatakan kononnya saya setakat kelulusan sarjana muda kejuruteran awam sahaja.

Bukan sekadar kami sama-sama mempunyai sarjana kejuruteraan (trafik), malahan tesis PhD saya juga dalam bidang perancangan pengangkutan.

Faham tak Sim?



Dengan latar belakang dalam bidang kejuruteraan dan perancangan pengangkutan ini, saya memang arif tentang teori “congestion cost”, menerbitkan model matematik bagi menghitung “congestion cost”, polisi pemilikan kenderaan, struktur cukai jalan, fi lesen memandu, yuran parkir, pendapatan per kapita memang berlainan dengan Singapura dan Hong Kong……. banyak lagi faktor atau angkubah yang perlu diselidiki!

Tiga perkara pokok

Namun saya tidak berniat untuk memperlekehkan ilmu beliau.

Tahniah juga kepada beliau yang berjaya menyambung pelajaran ke peringkat sarjana tetapi YB usahlah perlekehkan orang lain.



Dalam isu ini, ia bukan lagi soal siapa lebih pandai atau untuk mengesahkan siapa di antara kita yang memiliki ijazah palsu mahu pun menuntut di universiti yang tidak diiktiraf.

Antara saya dan beliau, dalam isu ini tidak sama dengan pemimpin lain dalam PH seperti Marzuki Yahya, Paul Yong Choo Kion, Osman Sapian, Mohamad Sabu dan Zuraida Kamaruddin.

Perkara pokoknya ialah:

Pertama, kenapa yang dijanjikan dalam Manifesto PH semasa PRU14 – iaitu menghapuskan tol lebuh raya – tidak ditunaikan? Sebaliknya pelbagai helah diberi kononnya PH mahu memperkenalkan formula gantian kepada pemansuhan tol iaitu cadangan caj kesesakan.



Bukankah rakyat ‘dikencingkan’ oleh PH?

Kalau tak dapat tunaikan janji, jangan sesuka hati menabur janji.

Kedua, kenapa keputusan ini dibuat secara tergesa-gesa dalam mood PRK Semenyih? Sedangkan ini adalah perkara penting yang perlu dilihat secara menyeluruh.

Minta rujuk DBP



Di mana dapatan kajian komprehensif pihak Jabatan Kerja Raya atau Lembaga Lebuh Raya Malaysia mengenai cadangan caj kesesakan ini?

Adakah kerajaan PH membuat konsultasi orang ramai?

Sim ada menyebut beberapa negara luar – seperti Singapura – yang patut dicontohi tetapi tahukah beliau bahawa mereka melakukan penelitian yang begitu serius dan mendalam sebelum membuat keputusan?

Saya sudah katakan sebelum ini, Singapura membuat kajian rapi dengan menetapkan daerah perdagangan sentral (CBD) dan zon terhad (RZ) dan electronic road pricing (ERP).



Apa yang kerajaan PH lakukan sebelum membuat keputusan? Sila perincikan!

Ketiga, adakah kerajaan PH pernah berbincang dengan pihak Dewan Bahasa dan Pustaka berhubung penggunaan istilah pemansuhan?

Ini kerana, istilah berkenaan digunakan oleh Pejabat Perdana Menteri bagi merujuk menggantikan “tol” kepada “caj kesesakan”. Nampak remeh, tapi ini penting kepada semua khususnya pelajar kita.

Apa yang kita faham selama in, pemansuhan bermaksud “dibuang” atau “dihapuskan”.

Bagaimana caj kesesakan yang perlu dibayar sama seperti tol boleh digelar pemansuhan tol? Kalau begitu, saya mengesyorkan agar istilah “pemansuhan” dibuang dari Kamus Dewan, “abolishment” digugurkan dari Oxford Dictionary. Kakaka!

Seorang lagi Anggota Parlimen DAP Wong Kah Woh, pula macam kera kena belacan. Dia tuduh saya “membantah kerana semata-mata membantah”.

Jahil betul YB Ipoh Timur itu. Kalau tak reti nak jawab, diam-diam sajalah!

Sila jawab, kenapa pemansuhan tol lebuh raya ditukar konsepnya menjadi bayar caj kesesakan? Jangan membodek semata-mata kerana mahu membodek!

Sim dan Wong, hentikanlah usaha menegakkan benang yang basah. Saudara berdua boleh menjadi bebal demi politik dan kepentingan peribadi tetapi janganlah berterusan memperbodohkan rakyat!

Sebagai kesimpulan, mengikut kefahaman rakyat kalau tol dimansuhkan ertinya rakyat tidak perlu membayar sebarang wang (tol) semasa menggunakan lebuh raya pada setiap masa.

Jikalau PH “memansuhkan” tol tetapi rakyat tetap perlu bayar caj kesesakan, itu bukan “pemansuhan” namanya! Faham tak?

DR WEE KA SIONG

sumber Mkini

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker