PrkSemenyih : Pas zahir komitmen tinggi bantu BN

Share

Pas menzahirkan komitmen tinggi untuk membantu Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

Naib Presiden UMNO yang turut menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu terbukti apabila parti itu mengerahkan kesemua Yang Dipertua Pas di seluruh kawasan di negeri ini mengadakan perjumpaan dengan pemimpin BN.

Jelasnya, pertemuan itu juga bagi menyusun peranan masing-masing dalam menggembleng jentera BN-Pas sepanjang musim berkempen tersebut.

“Sebenarnya, Pas sudah memulakan gerak kerja mereka sejak sebelum hari Penamaan Calon lagi. Difahamkan, pertemuan hari ini bagi membincangkan gerak kerja kempen sehingga hari mengundi nanti.

“Pas juga turut bersama dalam program angkat Pusat Daerah Mengundi (PDM), misalnya, kalau di PDM Kantai Permai BN Klang akan menjadi bapa angkat, begitu juga Pas Klang.

“Malah, Wanita UMNO juga akan kempen bersama Muslimat Pas begitu juga Pemuda dan Puteri yang telah menyusun atur program bersama,” katanya dalam sidang akhbar di PDM BN Kantan Permai dekat sini semalam.

Yang turut hadir ialah Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Noraini Ahmad dan Ketua UMNO bahagian Hulu Langat, Datuk Johan Abd. Aziz.

Terdahulu, Ismail Sabri dan calon BN, Zakaria Hanafi mengadakan pertemuan tertutup selama satu jam bermula dari pukul 9.30 sehingga 10.30 malam di Pejabat Pas Kawasan Hulu Langat.

Pertemuan itu turut dihadiri oleh Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Sallehen Mukhyi.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, kedua-dua parti itu juga sedang mengaturkan sebuah ceramah mega melibatkan pemimpin utama BN-Pas dalam masa terdekat. -UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/politik/pas-zahir-komitmen-tinggi-bantu-bn-1.845409#ixzz5g7w8E7tF
© Utusan Melayu (M) Bhd

Leave a Reply