Kemenangan Mohamad bagi DUN Rantau terbatal

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini, memutuskan kemenangan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu sebagai terbatal dan tidak sah.

Keputusan dibuat selepas panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum menolak rayuan Mohamad untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban pada 16 November lalu yang mengisytiharkan kemenangan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu bagi DUN Rantau, terbatal dan tidak sah.

Pada 29 November tahun lalu, Mohamad memfailkan rayuan terhadap keputusan berkenaan.

Calon PKR bagi DUN Rantau pada PRU-14, Dr Streram Sinnasamy, yang juga Naib Ketua PKR Cabang Rembau, memfailkan petisyen pada 23 Mei tahun lalu untuk membatalkan keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mengisytiharkan Mohamad memenangi kerusi DUN Rantau.



Dalam petisyennya, selain Mohamad selaku responden pertama, Dr Streram turut menamakan pegawai pengurus pilihan raya bagi kawasan Parlimen Rembau, Amino Agos Suyub, sebagai responden kedua; dan SPR responden ketiga.

Dr Streram diwakili empat peguam diketuai oleh Mohamed Haniff Khatri Abdulla manakala Mohamad diwakili oleh lima peguam diketuai oleh Datuk Mohd Hafarizam Harun.

Pada 28 November tahun lalu, SPR memutuskan untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan Hakim Pilihan Raya selepas meneliti penghakiman lisan dalam kes petisyen pilihan raya DUN Rantau dan mengambil kira nasihat peguam, khususnya mengenai kesan beberapa dapatan fakta dan undang-undang terhadap petugas, selain SPR sendiri kepada operasi serta perjalanan pilihan raya di masa akan datang.

Bagaimanapun, rayuan itu tidak membabitkan pembatalan keputusan pilihan raya DUN Rantau ketika PRU-14.



Sumber : https://www.bharian.com.my/berita/kes/2019/02/532203/kemenangan-mohamad-bagi-dun-rantau-terbatal

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker