Tangani Kos Sara Hidup Tapi Majlis Tindakan Ekonomi Ketepikan Dua Menteri Penting

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi melihat pembentukan Majlis Tindakan Ekonomi tidak menzahirkan anggota yang mewakili kelompok dan kumpulan sasaran yang sebenar seandainya matlamat penubuhannya adalah melibatkan kos sara hidup.

Ini kerana katanya anggota yang membentuk Majlis Tindakan Ekonomi tersebut tidak membabitkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Saifuddin Nasution Ismail sebagai contoh malah turut juga tidak melibatkan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rina Harun sebagai anggota mereka sedangkan kedua-dua menteri berkenaan terlibat secara langsung dalam apa jua keputusan besar melibatkan kos sara hidup rakyat.

“Kalau fokusnya adalah untuk menangani kos sara hidup saya tertanya-tanya mana menteri KPDNHEP di dalam anggota MTEN kerana menteri terbabit dan Menteri Pembangunan Luar Bandar adalah menteri- menteri yang terlibat secara langsung dalam apa juga keputusan besar yang melibatkan kos sara hidup… kalau itulah objektif Majlis Tindakan Ekonomi.

“Kalau selain daripada itu buat apa kita nak meningkatkan kos dengan mewujudkan satu kumpulan lain jika kita sudah mempunyai anggota pentadbiran. Menteri dan timbalan menteri telah mempunyai anggota pentadbiran kerajaan yang mempunyai pengalaman yang luas sejak daripada zaman kerajaan BN memerintah,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu sebelum itu beliau mempengerusikan Mesyuarat Exco Pemuda UMNO, di menara Dato’ Onn.

Pada masa yang sama Dr Asyraf turut melihat perkembangan berkenaan hanya menyerlahkan lagi hakikat bahawa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak meyakini kepimpinan menteri serta timbalan menteri yang ada pada hari ini.

“Saya syorkan Perdana Menteri membuat rombakan kabinet dalam masa terdekat demi kelangsungan rakyat dan kepentingan negara.

“Kalau diikutkan sebagai pembangkang, kenapa kita mahu cadangkan rombakan kabinet tetapi ini benda baik dan kerana kita merasakan kredibilti menteri dan timbalan menteri yang ada pada hari ini seorang demi seorang dipersoalkan,“ ujarnya.

Ahli Majlis Tindakan Ekonomi terdiri daripada Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ignatius Darell Leiking dan Menteri Kerja Raya, Baru Bian.

Selain itu, Penasihat Ekonomi Perdana Menteri, Dr Muhammed Abdul Khalid, bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz, Pengerusi Permodalan Nasional Berhad, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, Ahli Majlis Penasihat Kerajaan (CEP), Prof Dr Jomo Kwame Sundaram dan Pengarah Urusan Public Bank, Tan Sri Tay Ah Lek.

Ahli lain ialah Pengerusi Majlis Amanah Rakyat, Dr Hasnita Hashim, Pengerusi Bursa Malaysia, Datuk Shireen Ann Zaharah Muhiudeen, Pengerusi Asean Business Advisory Council Malaysia, Tan Sri Mohd Munir Abdul Majid, Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk Dr Paul Selvaraj, peguam, Bah Tony @ Amani William Hunt Abdullah dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Institut Masa Depan Malaysia (MASA), Nizam Mahshar. -MediaUMNO

UMNO ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker