Kalaulah benar Tun M tak mungkir janji

SEMEMANGNYA melucukan apabila pemimpin-pemimpin PKR dan DAP ‘mengamuk ‘ dan menganggap Tun Dr.Mahathir Mohamad memungkiri janji apabila menerima kemasukan enam bekas ahli Parlimen UMNO ke dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Mereka tidak dapat menerima tindakan Perdana Menteri itu kerana menganggap kesemua ahli Parlimen berkenaan adalah ‘sampah’ UMNO.

Persoalannya, kenapakah baru sekarang bercakap soal tidak menepati janji? Apakah soal berjanji hanya berkaitan menerima atau tidak, bekas pemimpin UMNO ke dalam komponen Pakatan Harapan sahaja?

Kenapa tidak menjerit-jerit meminta Perdana Menteri mengotakan segala janji yang dibuat kepada rakyat ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu? Apakah soal menerima bekas ahli Parlimen UMNO jauh lebih penting daripada kehidupan rakyat yang terjejas akibat janji-janji Pakatan Harapan dalam pilihan raya umum lalu?

Tambahan pula kalau difikirkan sejak bila pula Dr.Mahathir sentiasa menunaikan janjinya terutamanya dalam bab-bab gerakan politik?

Kalau Dr.Mahathir berpegang kepada janji atau kata-katanya sudah pasti beliau tidak akan berkawan dengan DAP biar apapun berlaku kerana pernah menganggap DAP parti cauvinis?

Kalau Dr.Mahathir berpegang kepada janji dan kata-katanya sudah pastilah beliau tidak akan keluar UMNO dan menubuhkan Bersatu kerana beliau pernah berkata, UMNO adalah satu-satunya parti harapan orang Melayu.

Kalau Dr.Mahathir berpegang janji dan kata-katanya sudah pasti beliau tidak akan bertolak ansur dalam integriti termasuklah berkaitan isu kelulusan ‘palsu’.

Banyak lagi contoh-contoh lain yang seharusnya dikaji oleh pemimpin-pemimpin PKR dan DAP sebelum mereka ‘menangis bagaikan anak kecil’ apabila ahli politik berusia 94 tahun itu dituduh memungkiri janji.

Mereka sepatutnya tidak perlu kecewa dengan tindakan Dr.Mahathir kerana dalam politik segala-galanya berkemungkinan.

Kalau DAP dan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang pernah menjadi ‘musuh nombor satu’ akhirnya diterima sebagai sekutu, apalah hendak dihairankan apabila Dr.Mahathir menerima pemimpin daripada UMNO – parti yang pernah meletakkan beliau sebagai Perdana Menteri selama 22 tahun.

Kenapa pemimpin PKR (kecuali Datuk Seri Mohammed Azmin Ali) dan DAP marah sangat? Bukankah tindakan bekas ahli Parlimen UMNO itu akan mengukuhkan kedudukan PH di Dewan Rakyat?

Atau mereka sudah dapat merasakan ada manuver politik yang mahu dilakukan oleh Dr.Mahathir berikutan ada desas-desus beliau mungkin tidak menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar seperti mana dijanjikan.

Perlu diingat pemimpin Pakatan Harapan pernah berkata, perjanjian peralihan kuasa itu sudah termeterai dalam satu dokumen yang ditandatangani kesemua pemimpin utama parti-parti dalam Pakatan Harapan.

Soalnya berapa orangkah yang menandatanganinya, kalau setakat tidak sampai 10 orang, lupakan sahaja janji tersebut akan ditunaikan.

Ia kerana kalaulah manifesto Pakatan Harapan akhirnya dianggap oleh Dr.Mahathir bukan kitab suci yang wajib dipatuhi, apalah sangat perjanjian politik yang dibuat ketika masing-masing ghairah mahu berkuasa.Bukankah kita sedang menuju ‘Malaysia palsu’?

Utusan

Related Articles

One Comment

  1. TDM sanggup berbuat apa saja dalam melaksanakan kehendak dan kemahuan beliau..bukan rahsia lagi kerana pada beliau Malaysia dia punya dan dia adalah Malaysia..so suka hati dialah..orang lain mesti ikut dia..

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker