Malaysia dan risiko ekonomi

ENTAH mengapa, mutakhir ini seakan ada sesuatu yang masih tidak kena dengan strategi ekonomi Malaysia. Jika bersandarkan kepada keputusan Pilihan Raya Umum ke-14, Malaysia sepatutnya berada di landasan ekonomi mantap. Kejayaan menjatuhkan kerajaan yang lebih enam dekad mentadbir negara digambarkan sebagai fenomena cukup luar biasa.

Kejayaan menjatuhkan kerajaan yang memimpin demikian lama disambut dengan gegak gempita. Digambarkan kononnya bahawa Malaysia akan kembali bangkit sebagai ‘harimau ekonomi’ berbanding sebelumnya.

Parameter politik dan ekonomi akan dilakukan ‘pengesetan semula’ (resetting) dengan sebaiknya.Sayangnya, setelah hampir 10 bulan berlalu, seakan-akan ada hambatan besar kepada usaha memberdaya ekonomi negara.

Ya, kita disuapkan hampir setiap hari bahawa kononnya ini semua berlaku kerana penyakit syarikat ‘1MDB’. Namun begitu, jika kita meletakkan syarikat 1MDB ini di luar parameter ekonomi sekalipun; tidak banyak perkara baik sedang berlaku.

Idea dan strategi ekonomi masih belum jelas. Walaupun pada ungkapan dan ucapan ia kelihatan positif; hakikatnya pasaran tidak memberi respon baik dan positif.

Seminggu lalu, Perdana Menteri mengumumkan sebuah badan khas persis Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) akan diwujudkan oleh kerajaan. Sebelum daripada itu, telahpun diumumkan penubuhan Jawatankuasa Khas berkait hutang dan liabiliti negara.

Pada pandangan penulis, tindakan dan usaha ini wajar dan tepat. Malahan, ia perlu disegerakan. Idea dan strategi ekonomi negara bergentayangan tanpa haluan yang jelas.

Mandat politik gagal diterjemah kepada usaha merekayasa ekonomi dan daya saing negara. Kerja buat kementerian yang sepatutnya merangka dan menyusun strategi ekonomi juga kelihatan kelesa dan tidak lunas.

Global Risks Report 2019

Penulis baru sahaja tamat membaca The Global Risks Report 2019 yang diterbitkan oleh World Economic Forum. Ini antara laporan WEF yang amat gemar penulis telusuri di awal tahun. Sebahagian pandangan kajian risiko global ini boleh dijadikan kayu ukur kemampuan negara menyusun perencanaan ekonomi.

Apabila memberikan fokus kepada bab khas mengenai negara Malaysia, angka dan laporan yang ditunjukkan tidaklah molek dan menggembirakan.Seakan ada jurang besar di antara ‘risiko global’ dan apa yang sedang kita hadapi di Malaysia.

Sementara di peringkat global, kekhuatiran dan kerisauan masyarakat antarabangsa lebih tertumpu kepada isu-isu seperti perubahan iklim dan cuaca, krisis air, bencana alam buatan manusia dan lain-lain; Malaysia masih berdepan isu-isu rutinan ekonomi.

Antara yang disenaraikan Global Risks Report 2019 sebagai ‘kegusaran ekonomi paling utama’ dalam konteks Malaysia adalah perkara berikut:-

• Pengangguran dan fenomena under employment

• Perdagangan haram

• Inflasi yang tidak terkawal

• Krisis fiskal

• Asset bubble atau gelembung hartanah

• Kejutan harga minyak dan gas

Kegagalan infrastruktur strategik

Penulis tidak mahu menilai setiap isu secara spesifik – kerana ia wajar dilakukan oleh mereka yang sedang merasai “nikmat kuasa” di Putrajaya – namun cukup dikatakan bahawa ia cukup merisaukan.

Nampaknya, sentimen negatif rakyat mengenai kemampuan kerajaan mengurus dasar ekonomi ini dikongsi secara jelas oleh badan penyelidik antarabangsa.

Minta maaf cakap, merujuk kepada kategori failure of national governance, kegagalan pengurusan dan pentadbiran nasional, kedudukan Malaysia berada di tahap yang amat membimbangkan.

Rasanya dalam sidang Parlimen lepas, cukup banyak rakan-rakan dalam kalangan wakil pembangkang mahupun kerajaan bercakap mengenai isu “pengangguran” dan fenomena under employment. Cukup banyak isu yang dibangkitkan – sayangnya, kita masih belum melihat pembuktian bahawa sesuatu sedang dilakukan di peringkat nasional.

Menteri yang diharapkan menjaga kepentingan generasi muda terlalu sibuk dengan usaha pinggiran menjual ruang pemasaran “instagram” dan sebagainya.

Lebih malang lagi, demi menjaga ego peribadi; sanggup pula bergaduh mulut dengan usahawan Melayu. Kegelisahan rakyat berkenaan isu ekonomi tidak boleh ditenangkan melalui ‘twitter’, ‘instagram’ dan media sosial yang lain.

MTEN

Pada hemat penulis, badan pemantau ekonomi ala-MTEN nanti, wajar melihat isu ini secara tuntas dan bersungguh.

Jangan biarkan “kekecewaan” rakyat, khususnya kelompok generasi muda berpendidikan dikecewakan suasana ekonomi suram dan kabur.

Badan ini nanti, seharusnya mampu mengisi segala “kelompangan” idea dan strategi di peringkat paling tinggi di dalam kerajaan. Kita memerlukan idea-idea besar dalam menangani isu yang akrab di hati rakyat. Generasi muda memerlukan visi dan aspirasi jelas daripada kerajaan.

Ini bukannya Malaysia yang mereka undi dan harapkan. Mereka mengharapkan perubahan luar biasa. Bukan perubahan ala kadar, seperti melepaskan batuk di tangga.

Adakala kita disedapkan oleh ayat manis penjaga amanah ekonomi supaya bersabar untuk tempoh tiga tahun yang akan datang. Ironi, kerana mereka beria-ia mengatakan mampu menyelesaikan isu ekonomi dalam masa 100 hari!

Mudah sangat untuk mereka menawarkan janji baru untuk menyelesaikan masalah rakyat dalam 1000 hari. Ibaratnya seperti “mengalih kain ke balik rumah; mengalih kata ke hadapan”.

Terus terang, penulis tidak yakin rakyat mahu dan rela menunggu sebegitu lama. Sebahagian besar mereka yang terbuai dengan janji palsu, sudah semakin kecewa dan gusar. Hidup mereka di kampung tertekan.

Kehidupan anak cucu mereka di bandar juga turut terhimpit. Di mana strategi dan ikhtiar kerajaan? Apa strategi baru yang sudah dilaksanakan?

Penulis mengharapkan kalangan pembuat dasar dan strategi ekonomi negara melihat dapatan Global Risks Report 2019 dan melihat ke mana destinasi sebenar yang sedang mereka aturkan.

Harapan rakyat menggunung tinggi; namun setakat ini mereka dikecewakan dengan prestasi pemimpin yang kelalap dan tenggelam.

Nyatanya, strategi ekonomi dan agenda kesejahteraan rakyat yang ditawarkan kerajaan belum padu dan ampuh. Rakyat masih berasa tertekan.

Setakat hari ini, kerajaan belum mampu meletak diri sebagai “kayu besar di tengah padang; tempat bernaung kepanasan; tempat berlindung kehujanan”.

Yang ada dan menjadi tamsilan, hanyalah mereka yang bermuslihat untuk kepentingan diri sendiri.

DATUK SERI REEZAL MERICAN NAINA MERICAN ialah Ahli Parlimen Kepala Batas.

Utusan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker