Bahasa di mulut orang politik

oleh Ab Jalil Backer

ACARA wawancara Sinar Harian bersama Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hassan melalui Facebook Khamis lalu sangat menarik dan luar biasa, baik dari segi statistik mahu pun perwatakan dan kemahiran orator beliau.

Dari segi statistik jumlah tontonan secara langsung atas talian mencecah 4,000 orang pada petang itu merupakan angka yang sangat signifikan. Jarang sekali siaran langsung pada sebelah petang mendapat tontonan semasa sebanyak itu.

Lebih menarik 12 jam selepas wawancara tersebut, ia sudah merekodkan lebih 100,000 tontonan (viewer) dan lebih 2,000 perkongsian (share) serta hampir 4,000 respons (Like).

Sebagai perbandingan, wawancara Sinar Harian bersama Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 22 Oktober 2018 hanya dikongsi oleh 1,600 pengguna Facebook dan sehingga jumaat lepas, iaitu lebih tiga bulan dari masa wawancara hanya mendapat 218,000 tontonan serta 3,700 respons.

Manakala wawancara Sinar Harian bersama bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak pada pada 22 November 2018 dan ststistik sehingga Jumaat lalu (selama 3 bulan) mendapat 168,000 tontonan, dikongsi oleh 3,000 akaun pengguna Facebook dan mendapat 4,100 respons.

Perbandingan ini sangat menarik kerana seperti yang dinyatakan dalam kolum ini minggu lalu, Mohamad Hassan bukan tokoh nasional sebelum ini yang tiba-tiba diangkat sebagai Timbalan Presiden Umno dan kemudiannya diberi tanggungjawab menjalankan tugas-tugas presiden.

Membandingkan pengaruh, ketokohan dan kepintaran orator Dr Mahathir dan Mohd Najib dengan Mohamad Hassan sangat tidak kena. Dr Mahathir sudah mewarnai politik tanah air sejak sebelum merdeka. Mohd Najib sudah hampir 40 tahun menjadi pemimpin peringkat nasional. Kedua-dua mereka juga sedang dan pernah menduduki kerusi nombor satu kepimpinan negara yang merupakan landasan membina pengaruh dan sokongan.

Justeru, angka-angka ini walaupun bukan satu yang fundamental namun ia memberi gambaran agak jelas bahawa Mohamad Hassan dan Umno sedang berada di landasan yang lebih baik berbanding beberapa bulan lalu.

Selain keseronokan angka-angka media sosial, wawancara Khamis lalu juga amat menarik dilihat dari segi kajian sikap dan perwatakan para pemimpin politik.

Politik negara sentiasa menyaksikan para pemimpin yang mempunyai perwatakan dan kemahiran orator yang berlainan dan penuh warna-warni.

Dr Mahathir ketika zaman kemuncaknya terkenal dengan kemampuan perucapan yang ringkas, padat, sindiran pedas dan bersahaja. Beliau mempunyai kemampuan luar biasa menjelaskan perkara yang sukar dalam bahasa yang difahami rakyat biasa. Mahathir tidak berbasa-basi dalam perucapan.

Ini berbeza dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Beliau merupakan seorang orator yang hebat dan dianggap setaraf Sukarno (Presiden Indonesia) dalam memilih perkataan, ayat dan nada ucapan bagi memegun khalayak pendengar.

Dalam era kegemilangannya Anwar menyulami jargon-jargon peradaban Islam kepada istilah-istilah pemikir Barat, sehinggalah kepada lontaran idea-idea sosialisasi dan kebudayaan tempatan dan nusantara. Anwar pada zaman kegemilangannya memprojekkan dirinya sebagai pemikir antarabangsa berjiwa rakyat tempatan.

Kemahiran orator dan perwatakan politik Mohd Najib berada di antara perwatakan Dr Mahathir dan Anwar. Beliau mempunyai kemampuan menjelaskan hal-hal ekonomi dalam bahasa rakyat dan menyampaikan ucapan berapi-api membangkitkan sentimen rakyat.

Cuma ketika menjadi perdana menteri, Mohd Najib dilihat tidak berucap secara natural seperti perwatakan politiknya. Mungkin atas nasihat kumpulan pemikir strategik tertentu, beliau dilihat cuba mengikut retorik Anwar yang akhirnya sangat janggal.

Selepas pilihan raya lalu Mohd Najib dilihat kembali menjadi Mohd Najib sebelum perdana menteri. Beliau menarik sokongan rakyat dengan ayat-ayat yang mudah difahami dan menusuk hati nurani rakyat. Cuma kebelakangan ini ada kekhuatiran beliau sekali lagi mengulangi kesilapan ketika menjadi perdana menteri, iaitu tidak menjadi diri beliau yang sebenar.

Kini pentas ini turut dikongsi oleh Mohamad Hassan. Dalam wawancara oleh tokoh media Tan Sri Johan Jaaffar itu, beliau beberapa kali menutup “jerangkap samar” dengan jawapan yang bersulamkan pepatah Melayu.

Sebelum pilihan raya bekas Menteri Besar Negeri Sembilan ini sudah mula menarik perhatian politik nasional dengan cara beliau menjawab isu kepimpinan atasan dengan pepatah lama, “Jika tidak boleh jadi garam, jangan kita jadi langau.”

Justeru minggu lalu, apabila ditanya Johan mengenai serangan Dr Mahathir ke atas Umno beliau tidak membuang masa mempertahankan isu lapuk atau menyerang semula. Mohamad Hassan menjawab dalam keadaan penuh kebijaksanaan klasik:

Hendak tahu panjang dan berlikunya sungai, tanya pada seluang

Hendak tahu dalamnya lubuk, tanya pada memerang

Hendak tahu lebarnya padang, tanya pada belalang

Hendak tahu tebalnya hutan, tanya pada Pak Belang

Hendak tahu eloknya orang, tanya pada kawan

Hendak tahu buruknya orang, tanya pada lawan

Ketika Johan meminta Mohamad Hassan memberi satu sebab kekalahan BN, Mohamad Hassan seolah-olah boleh membaca pemikiran Johan terus menjawab, beliau tidak kisah menyatakan 1MDB salah salah satu faktor kalah.

Johan cuba mengasak mengapa Umno membenar 1MDB menjatuhkan Umno, Mohamad Hassan dengan tenang menjawab bahawa kebanyakan orang termasuk beliau tidak pasti apa yang sebenarnya berlaku kerana kompleksiti isu.

Dalam bahasa mudah berselang dialek negeri dan perumpamaan, Mohamad Hassan merumuskan “Kito hendok menorangkan pun tidak reti. Saya ini umpama duduk bawah cucur atap, kono mandikannya. Hujan kito mandi, kito basah.”

Sukar untuk digambarkan keseluruhan kemahiran berbahasa Mohamad Hassan kecuali anda menonton sendiri wawancara tersebut untuk merasai kesegaran jawapan-jawapan dan cara penyampaian beliau.

Mungkin sekarang rakyat perlu lebih memahami dialek atau loghat Negeri Sembilan kerana itulah trademark Mohamad Hassan. Mungkin itu jugalah menjadikan petikan-petikan kata Mohamad Hassan lebih meresapi akar umbi.

Bahasa orang kampung yang diluncurkan oleh mulut tokoh korporat tanpa sebarang kepura-puraan.

Rumusan terbaik wawancara tersebut telah dibuat oleh Profesor Firdaus Abdullah bahawa Mohamad Hassan telah mengembalikan “local wisdom” dalam naratif politik Umno, sesuatu yang telah lama gagal dipentaskan dengan baik.

Cuma local wisdom dalam naratif politik sahaja tidak cukup untuk membangkitkan Umno. Ia memerlukan lebih dari sekadar naratif meyakinkan rakyat. Mohamad Hassan sendiri mengakui cabaran terbesar beliau ialah mewarisi Umno tanpa wang dan pasukan yang kuat.

* Penulis ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasionalis (Akar)

Sinar

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker