Misi, visi Syed Saddiq kabur dan tiada hala tuju

Dewan Muda Johor (DMJ) menyifatkan misi serta visi Syed Saddiq Syed Abdul Rahman selaku Menteri Belia dan Sukan selain sebagai seorang pembuat dasar dilihat masih kabur dan tiada hala tuju.

Koordinatornya, Ahmad Solehin Abdul Ghani berkata, DMJ turut mempersoalkan slogan #YouthPower yang diperkenalkan Ahli Parlimen Muar itu kerana berpendapat belum ada satu pendekatan atau modus gerak kerja yang jelas bagi membawa polisi dan imej slogan itu.

“DMJ melihat di mana sahaja beliau berada dan apa jua yang dilakukan, pasti akan berhashtag #YouthPower walaupun berbasikal bersama-sama mereka yang tidak lama lagi akan berpencen sekali gus tidak jelas konsep yang cuba diketengahkan itu.

“Sebagai platform anak muda, DMJ mendambakan polisi yang jelas seperti diterapkan dalam TN50 atau Fit Malaysia yang mengambil kira suara dan pendapat pemegang taruh sebelum mempolisikan sesuatu perkara untuk dilaksanakan di peringkat akar umbi,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.

Beliau berkata, DMJ mengambil serius dakwaan sesetengah atlet yang mendakwa Ahli Parlimen Muar itu lebih memberi tumpuan kepada mempromosikan e-sport yang mana peruntukan adalah di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia sedangkan di akhbar banyak berita mengenai kebajikan atlet diabaikan selain beberapa program podium yang dihentikan.

Selain itu, katanya, spekulasi terbaharu pula, adalah mengenai Syed Saddiq mempromosikan produk usahawan muda bumiputera dalam mesyuarat Kabinet, memang ada baiknya berbuat demikian, namun adalah lebih baik menyalurkan golongan usahawan muda bumiputera itu menerusi kementerian yang sesuai.

“Justeru, besar harapan DMJ ingin melihat Yang Berhormat kembali fokus dan balik kepada perjuangan asal dalam menjayakan setiap manifesto Pilihah Raya Umum ke-14 (PRU-14) dan polisi yang lebih baik untuk anak muda Malaysia secara keseluruhan.

“Walaupun ada waktu berbeza pendapat dan kepercayaan, tetapi sebagai golongan muda progresif seperti DMJ, kami ingin melihat anak muda seperti Yang Berhormat berjaya membawa peranan sebagai menteri dengan jayanya supaya anak muda seperti kami dan yang ramai di luar sana dapat menangkis sentimen golongan dewasa yang menyatakan “anak muda hanya sekadar pandai berkata-kata”,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker