Skim insurans mySalam ketepikan golongan muda B40

Dewan Muda Johor (DMJ) menyambut baik pengumuman mySalam yang diumumkan kerajaan baru-baru ini, namun berpendapat skim berkenaan secara terang-terangan mengetepikan golongan muda B40.

Ini kerana, menurut DMJ, melalui syarat penerima skim itu, kerajaan akan mengguna pakai data penerima Bantuan Sara Hidup Rakyat (BSHR) dan sudah tentu golongan muda B40 yang hampir tiga juta dan masih bujang tidak layak menerima manfaat mySalam.

Walau bagaimanapun, kata DMJ, jika data Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) yang diperkenal kerajaan terdahulu diguna pakai, maka golongan muda B40 tanpa mengira status sudah pasti layak menerima manfaat skim mySalam itu.

“Malangnya, kerajaan sekarang yang selalu mencanang slogan #youthpower dilihat sudah banyak mengetepikan kebajikan golongan muda pada hari ini,” kata DMJ dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.



Dalam pada itu, DMJ turut mempersoalkan motif kerajaan menubuhkan anak syarikat baharu di bawah Kementerian Kesihatan dan melantik pihak swasta, Great Eastern Insurance untuk mengawal selia perkhidmatan kesihatan awam di negara ini.

Jika melihat situasi itu, kata DMJ, kerajaan Pakatan Harapan seolah-olah merasakan kerja menjaga kebajikan rakyat merupakan satu bebanan dan cuba mengalihkan sedikit demi sedikit tanggungjawab ini kepada pihak swasta.

“DMJ juga bimbang melihat sumbangan RM2 bilion daripada syarikat insurans Great Eastern terhadap mySalam, ini kerana, sudah tentu syarikat swasta itu mengharapkan pulangan di masa akan datang.

“Ia seperti sedang memonopoli pasaran insurans negara dengan menggunakan kerajaan sebagai instrumen mereka,” kata DMJ.



Selain itu, tambah DMJ, mySalam juga mengetepikan golongan M40 kerana dengan peningkatan kos sara hidup dan ketidaktentuan ekonomi serta beberapa syarikat sudah mula mengecilkan saiz operasi, sudah pasti mereka juga terkesan sekiranya kehilangan pekerjaan. – UTUSAN ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker